Bomba berkata mayat mangsa dijumpai kira-kira 1km dari lokasi dia dilaporkan terjatuh. (Gambar fail)
SIBU: Seorang pekerja syarikat pendawaian yang tercampak dari bot dalam insiden di Sungai Batang Igan berdekatan Bungan Kecil di Mukah, Rabu lalu ditemukan lemas malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat Saffuan Zaffarin, 30, ditemukan penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar 7.36 malam.
“Mayat dijumpai kira-kira 1km dari lokasi dia dilaporkan terjatuh sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Operasi SAR yang memasuki hari ketiga sebelum penemuan mayat itu, melibatkan pencarian di kawasan radius 5 hingga 10km dari lokasi kejadian pada sebelah pagi manakala pencarian di permukaan sungai diteruskan sebelah petang.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang Rabu, mangsa dipercayai tercampak selepas bot dinaiki melanggar sebatang kayu hanyut ketika melalui kawasan Bungan Kecil, Batang Igan.
Source link