KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Najib Razak mengadu kepada Mahkamah Tinggi mengenai apa yang mereka gambarkan sebagai “laporan berita yang tidak adil” mengenai kes perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri tersebut.
Peguam bela utama Shafee Abdullah memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa beberapa laporan mendakwa bahawa Najib menerima dan menggunakan USD681 juta yang dikaitkan dengan 1MDB untuk mempengaruhi pilihan raya umum 2013.
“Ia tidak pernah dibuktikan di mahkamah bahawa USD681 juta itu digunakan untuk mempengaruhi pengundi. (Jumlah) USD620 juta (daripada jumlah keseluruhan) telah dikembalikan kepada pengirim (pada tahun yang sama),” kata Shafee.
Beliau berkata pasukannya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan kerana menghina mahkamah terhadap beberapa syarikat media kerana laporan yang tidak tepat.
Shafee juga mengadu bahawa Pegawai Penyiasat Nur Aida Arifin membuat pelbagai “kesimpulan” tentang kes itu dalam kenyataan saksi beliau.
Beliau berkata keputusan akhir kes itu sepatutnya ditentukan oleh hakim, bukan oleh saksi dalam prosiding.
Katanya adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk mengeluarkan kandungan dengar cakap dari kenyataan saksi Aida.
“Saya akan mengemukakan bantahan (terhadap kenyataan saksi Aida). Ia menyebabkan prejudis kepada klien saya,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata Aida hanya merujuk kepada laporan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015 di mana didakwa dana dari 1MDB digunakan untuk membeli undi semasa pilihan raya umum 2013.
“Kami (pendakwaan) tidak boleh mengawal apa dan bagaimana media melaporkan.
“Yang penting ialah apa yang beliau katakan di mahkamah pada akhirnya akan menjadi bukti,” katanya.
Akram juga berkata SPRM mempunyai kewajipan di bawah undang-undang untuk tidak mendedahkan identiti sebenar pengadu.
“Apabila berhadapan dengan penyediaan laporan (untuk rekod), ia akan dilakukan oleh pegawai, bukan pengadu,” katanya.
Akram juga berkata beliau akan berjanji untuk membuat pindaan yang diperlukan pada kenyataan saksi Aida, termasuk menyisipkan rujukan kepada dokumen yang akan dikemukakan sebagai bukti, pada 8 Jan.
Najib dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Feb 2011 hingga Dis 2014.
Perbicaraan bersambung.