SEOUL: Pasukan penyiasat pada Isnin memohon waran tangkap terhadap Yoon Suk Yeol berhubung pelaksanaan undang-undang tentera singkat, menjadikannya presiden Korea Selatan pertama yang berdepan penahanan, lapor agensi berita Yonhap.
Pasukan itu memohon waran tangkap atas tuduhan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa, selepas Yoon mengabaikan tiga panggilan untuk menghadiri sesi soal siasat.
Permohonan difailkan di Mahkamah Barat Seoul pada tengah malam Ahad, menurut pasukan penyiasat terdiri daripada Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO), polis dan unit siasatan Kementerian Pertahanan.
Penyiasat mendakwa Yoon mengetuai pemberontakan dan menyalahgunakan kuasanya apabila mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Dis lalu dan mengarahkan tentera ke Dewan Perhimpunan Kebangsaan untuk menghalang Ahli Parlimen membatalkan dekri itu.
Yoon menafikan tuduhan itu dengan berkata pengisytiharan undang-undang tentera “tindakan pemerintahan” untuk memberi amaran kepada parti pembangkang terhadap apa yang disifatkannya penyalahgunaan kuasa perundangan.
Yun Gap-geun, wakil peguam Yoon berjanji akan mengambil “langkah formal” sebagai tindak balas.
“Ia adalah permohonan oleh agensi yang tiada kuasa menyiasat (tuduhan pemberontakan),” katanya kepada agensi berita Yonhap merujuk CIO.