Program realiti nyanyian yang paling dinanti-nantikan, ‘One in a Million’ (OIAM) akhirnya kembali ke kaca televisyen selepas 15 tahun menghilang. Kali ini, dengan sokongan Calpis Soda sebagai pengeluar eksekutif, program ini menjanjikan hadiah yang paling mengujakan dalam sejarah rancangan televisyen tempatan.
Peserta yang berjaya menjuarai pertandingan bakal membawa pulang hadiah bernilai RM 1 juta, termasuk wang tunai RM 500,000, sebuah kereta, dan kontrak rakaman bernilai RM 400,000. Yang lebih menarik, pemenang berpeluang untuk berkolaborasi dengan artis Indonesia untuk mengembangkan kerjaya di pasaran serantau.
Bukan itu sahaja, penonton di rumah juga berpeluang memenangi hadiah mewah. Dalam setiap episod, sebuah kereta baharu akan diberikan kepada penonton bertuah – menjadikan jumlah keseluruhan tujuh buah kereta yang bakal dimenangi sepanjang musim ini!
Program yang akan disiarkan di TV3 ini akan dikendalikan oleh duo popular Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy. Panel juri pula dibarisi oleh legenda industri muzik tanah air, Datuk Yusry Abdul Halim dan Ziana Zain.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn. Bhd., Encik Santharuban Thurai Sundaram, “OIAM telah melahirkan banyak bakat hebat seperti Yuna, Suki Low, Ayu Damit, Tomok, dan Alif Satar. Kali ini, kami mahu mengambil program ini ke tahap yang lebih tinggi dengan format baharu yang lebih segar.”
Uniknya, pertandingan kali ini terbuka kepada semua peserta berusia 15 tahun ke atas, sama ada penyanyi solo, duo, atau berkumpulan. Sesi uji bakat akan diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, bermula di Karnival Jom Heboh, Angsana Mall Johor Bahru pada 2 dan 3 November 2024.
Bagi mereka yang tidak dapat menghadiri uji bakat secara langsung, video nyanyian boleh dimuat naik ke TikTok menggunakan hashtag #CalpisSodaOIAMTV3 dari 1 hingga 17 November 2024.
Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks dan Primeworks Studios menegaskan bahawa program ini adalah platform paling demokratik di mana bakat adalah keutamaan.
“Tidak kira sama ada anda penyanyi berpengalaman atau baru bermula, OIAM memberi peluang kepada semua untuk mencapai impian mereka,” katanya.
Program ini dijadual akan bermula pada Disember 2024 di TV3. Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, orang ramai boleh mengikuti @TV3Malaysia di semua platform media sosial.