KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memaksa kerajaan mengeluarkan “perintah tambahan” yang didakwa daripada bekas Yang di-Pertuan Agong yang membenarkannya untuk menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.
Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda beliau dari RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 70, kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Dalam permohonannya yang difailkan pada 1 April, Najib mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan “perintah tambahan” semasa mesyuarat lembaga pada 29 Jan, sehari sebelum tempoh penggal baginda berakhir.
“Bagaimanapun, ‘perintah tambahan’ itu tidak diumumkan oleh lembaga pada 2 Feb,” kata Najib.
BERITA LANJUT MENYUSUL