Kuala Lumpur: Pameran Maya #MyAPEC2020 menarik lebih 6,000 pengunjung berdaftar di platform dalam talian dengan tempoh kurang dari dua bulan sejak ia bermula sebagai pameran Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang pertama seumpamanya, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Agensi itu berkata, pertukaran format pameran daripada fizikal kepada secara dalam talian sepenuhnya adalah tindak balas langsung pihaknya kepada digitalisasi pesat di seluruh dunia, didorong sekatan dan garis panduan penjarakan sosial yang ditetapkan berikutan pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, dalam usaha untuk berjaya menyesuaikan dengan normal baharu, syarikat Malaysia digesa menerima guna teknologi dan menjalankan perniagaan secara digital.
“Inisiatif Matrade menganjurkan Pameran Maya #MyAPEC2020 bukan hanya memberi peluang perniagaan kepada syarikat dari Malaysia dan ekonomi APEC lain menerusi interaksi dengan pembeli asing, malah berperanan sebagai platform untuk mereka menyesuaikan dengan interaksi maya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sejak dilancarkan pada 1 September lalu, lebih 300 pembeli dari 51 ekonomi sudah mendaftar di platform itu dengan Malaysia, Australia, Myanmar, Indonesia dan Jepun menjadi lima negara teratas.
Pameran #MyAPEC2020 kini menempatkan lebih 300 syarikat merangkumi syarikat Malaysia dan antarabangsa dari ekonomi APEC.