PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap seorang individu yang memuat naik kandungan di media sosial yang mempermainkan serta mempersendakan ajaran Islam.
Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee berkata laporan itu dibuat bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap individu berkenaan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Jakim memandang serius tindakan seorang individu yang memuat naik kandungan media yang jelas mempermainkan serta mempersendakan ajaran Islam.
“Jakim menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan selaras dengan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan siapakah individu dan kandungan media sosial yang dimaksudkan tersebut.
Sirajuddin berkata kandungan media sosial itu yang kini tular jelas mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat, malah berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum
“Oleh itu, semua pihak harus menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan, dan ketegangan dalam masyarakat,” katanya.