MAJLIS Perkapalan Kebangsaan Malaysia (MNSC) menyatakan kebimbangan berhubung isu pergerakan kargo yang terjejas dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
MNSC dalam kenyataan berkata, tiada pergerakan bagi kargo barangan bukan utama dari pelabuhan ke gudang ketika PKP menyebabkan kesesakan teruk di pelabuhan dan lapangan terbang.
Katanya, ia turut berdepan situasi barang tidak penting yang diimport sebelum PKP tiba di pelabuhan tetapi tidak dapat dikeluarkan kerana tidak mendapat kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Pihak berkuasa Pelabuhan Klang dalam notisnya bertarikh 17 Mac mengumumkan bahawa tidak akan ada pengecualian atas caj berkaitan kontena iaitu penyimpanan, penyingkiran dan caj ‘demurrage’ kerana kelewatan pengumpulan kargo.
“Caj ini boleh mencecah jumlah yang besar dan akan ditanggung terus oleh pengirim atau pengilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, MNSC berharap agar PKP dilaksanakan lebih cekap bagi industri perkapalan dan logistik yang kini berada dalam dilema akibat Covid-19.
“Untuk memerangi cabaran ini, usaha secara bersama perlu diselaraskan oleh semua pihak berkepentingan.
“Kami mengalu-alukan pengumuman MITI mengenai kebenaran operasi bagi perkhidmatan pengangkutan dan logistik yang menyokong mana-mana sektor pembuatan penting, namun bukan semua syarikat termasuk di bawah barang keperluan yang diluluskan.
“Bagi yang tidak mendapat kelulusan pula tidak dapat beroperasi dan dikehendaki menutup semua operasi termasuk pengeluaran import dan eksport ketika PKP,” katanya.
Justeru, MNSC meminta kerajaan memberi kebenaran perkhidmatan logistik diteruskan tanpa halangan dan mungkin tidak perlu memohon kelulusan berasingan dari Kementerian Pengangkutan (MOT) selepas mendapat kelulusan MITI terutama syarikat dalam senarai penting atau pengangkutan untuk barangan segar yang sudah dianggap penting oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
“Pengangkutan mesti dibenarkan untuk mengangkut barangan penting menggunakan kelulusan yang sama dari pihak berkuasa ini,” katanya.