Susulan perkembangan rancangan penggabungan Nissan dan Honda, Mitsubishi Motors dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk tidak akan menyertai pembentukan syarikat baharu ini. Menurut laporan Reuters, Mitsubishi yang kini milik Nissan dengan pegangan 24% saham merancang untuk kekal dalam senarai bursa dan dalam masa yang sama akan terus berkerjasama dengan kedua-dua jenama berkenaan.
Perkara ini diberitahu kepada Reuters oleh tiga sumber yang enggan dikenali kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap mengenai perkara itu secara terbuka. Laporan ini turut menyebut saham Mitsubishi Motors turun 3.9% menjelang rehat makan tengah hari tadi selepas merosot lebih daripada 6% pada dagangan awal pada hari Jumaat. Saham Nissan jatuh 0.7% dan saham Honda didagangkan 0.1% lebih rendah.
Nissan dan Honda mula berunding untuk bergabung pada akhir tahun lalu, yang bakal mewujudkan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia dengan penghasilan sejumlah 7.4 juta kenderaan setahun. Manakala Mitsubishi Motors dijangka akan mengumumkan keputusan mereka sama ada untuk menyertai atau tidak syarikat tersebut pada akhir bulan ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Mitsubishi Motors, sebelum ini ada media yang melaporkan bahawa mereka berminat untuk menyertai kerja-kerja bagi merangka integrasi perniagaan yang sedang ditimbangkan oleh Honda dan Nissan, namun laporan itu bukan dari kenyataan yang ia keluarkan.
Mitsubishi turut menambah bahawa ia kini sedang mempertimbangkan pelbagai kemungkinan pada tahap sekarang, dan hala tuju tersebut masih belum dimuktamadkan.
Manakala dalam laporan akhbar Yomiuri menyatakan bahawa Mitsubishi enggan untuk menyertai syarikat baharu tersebut kerana gusar ia akan sukar untuk membuat keputusan berkenaan pengurusan bersama syarikat induk memandangkan saizya yang agak kecil berbanding Nissan dan Honda.
Apabila ditanya berkenaan laporan Yomiuri tersebut, jurucakap Nissan dan Honda merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Mitsubishi dan enggan memberikan komen lanjut.
Disember lalu Nissan dan Honda menyatakan bahawa kedua-duanya mensasarkan untuk memuktamadkan rundingan ini sekitar Jun 2025 sebelum membentuk syarikat induk pada Ogos 2026, apabila saham kedua-dua syarikat telah digugurkan dari bursa.
Mitsubishi Motors akan mengekalkan struktur sedia ada buat masa sekarang dan fokus untuk mengembangkan pegangannya dalam pasaran Asia Tenggara, lapor Yomiuri lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.