Mayat ditemui di ladang, polis cari 3 lelaki

Setakat ini seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan, berhubung penemuan mayat di ladang sawit di Sandakan, Sabah semalam. (Gambar PDRM)
SANDAKAN: Polis sedang mengesan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 24 tahun bagi membantu siasatan, berhubung penemuan mayat lelaki dalam keadaan tidak sempurna dan reput, berhampiran sebuah kenderaan terbakar di ladang sawit, semalam.
Timbalan Ketua Polis Sandakan, K Ramasamy, berkata tiga lelaki itu dikenali sebagai Mohd Jasmin Rusman atau Achok, 24; Mohammad Zulfaizzie Hanafie Mohd Firdaus, 24; dan seorang lagi hanya dikenali dengan nama Komeng berusia 20-an.
“Siasatan lanjut telah dijalankan dan setakat ini polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan, bagaimanapun suspek utama dalam kes ini telah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Beberapa saksi utama juga dirakam percakapan dan motif utama pembunuhan disyaki akibat dendam,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ramasamy berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki serta rangka pacuan empat ronda yang terbakar pada 10.50 pagi, daripada orang awam.
“Mayat yang ditemukan kira-kira 16 meter dari kenderaan terbakar itu, disyaki berkaitan satu kes orang yang dilaporkan hilang pada Ahad,” katanya.
Pasukan penyiasat forensik membuat pemeriksaan awal di lokasi kejadian namun tidak menemukan sebarang senjata berkaitan kes itu.
Proses pengecaman mayat serta bedah siasat akan dijalankan esok.

Source link

kenderaan terbakarpenemuan mayatpolissabah
Comments (0)
Add Comment