Bermula Khamis hingga Ahad minggu ini, semua lebuh raya di Semenanjung Malaysia dijangka dipenuhi kenderaan sempena Aidilfitri. Jutaan warga Lembah Klang akan pulang ke kampung baik di selatan, utara dan timur.
Kesesakan teruk pastinya dijangkakan dengan salah satu sumber puncanya berlaku di plaza tol. Bercakap mengenai penyelesaian di sektor itu, mungkin boleh dikaitkan dengan cadangan pelaksanaan aliran pantas pelbagai lorong (MLFF).
Mengikut laporan media, projek berkenaan sebenarnya telah lama dirancang iaitu bermula 25 tahun lalu. Menteri Kerja Raya ketika itu S Samy Vellu mengumumkan rancangan pelaksanaannya pada 2006.
Namun ketika negara lain termasuk rakan Asean antaranya Singapura, Thailand dan Indonesia telah mengorak langkah, Malaysia sehingga kini belum melaksanakannya.
Kesesakan di plaza tol terutama pada waktu puncak masih berlaku. Aidilfitri kali ini, pengguna lebuh raya dijangka terus berdepan situasi kenderaan ‘melekat’ untuk menunggu giliran melalui pondok terbabit.
Di bawah sistem MLFF, semua pintu keluar dan masuk di lebuh raya akan ditukar menjadi lorong bebas halangan untuk mengurangkan kesesakan dan memudahkan aliran trafik tanpa palang tol.
Sistem itu sebahagian daripada Rangka Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (2019-2023), yang direka untuk memodenkan prasarana lebuh raya negara.
Mengikut kertas cadangan sebelum ini, teknologi pengecaman frekuensi radio (RFID) dan sistem pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) digabungkan yang boleh membaca tag dengan kelajuan maksimum kenderaan 180 km/j selain merakam gambarnya.
Sebaik sahaja kenderaan melalui tol gantri terbabit, caj akan dikenakan dan melalui pelbagai platform bayaran sekali gus memastikan pembayaran dibuat.
Namun begitu, wujud bantahan daripada sesetengah pihak syarikat lebuh raya konsesi iaitu sebanyak 13 daripada 33 syarikat terhadap cadangan syarikat usaha sama Konsortium Jaringan Selangor – SEP (KJS-SEP JV).
Cadangan dikemukakan berasaskan kaedah kerjasama awam swasta di mana pihak kerajaan tidak perlu membiayai sebarang kos, tiada kenaikan tol atau lanjutan tempoh konsesi serta tiada kos tambahan kepada pengguna.
Di sebalik pelbagai proses dilalui sejak 2021 termasuk sesi libat urus semua pemegang taruh daripada kerajaan dan swasta termasuk wakil-wakil syarikat lebuh raya konsesi selain lawatan ke luar negara dan proses pembuktian konsep (POC) di sebuah lebuh raya yang kesemuanya membabitkan kos puluhan juta ringgit, projek itu belum dapat dimulakan.
Jawapan jelas kepada tentangan terhadap pelaksanaan projek itu mungkin hanya boleh dijawab pihak membantah.
Ketika ini difahamkan, Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang menunggu hala tuju baharu berkait MLFF daripada Jemaah Menteri.
Namun, Timbalan Menterinya Ahmad Maslan mengumumkan PLUS Malaysia Bhd akan melaksanakannya mulai April ini atas usaha persendirian syarikat konsesi itu.
“…pihak konsesi ada hak melaksanakan MLFF sendiri walaupun tertakluk kepada arahan dan hala tuju (MLFF) yang akan diputuskan Kabinet,” katanya dipetik Bernama pada 19 Feb lalu tanpa menjelaskan secara lanjut maklumat lain.
Sehari sebelum itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberikan enam syor kepada KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung pelaksanaan MLFF. Antaranya melaksanakan analisis kos faedah lebih terperinci berhubung pelaksanaan projek itu.
Tender ikut tatakelola
Namun selain kos analisis, wajar dipertimbangkan juga bagaimana pelaksanaan MLFF ini mampu mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan (O&M) syarikat konsesi lebuh raya yang difahamkan sekitar RM890 juta setahun.
Bayangkan jika ada syarikat mampu melaksanakan MLFF yang mampu mengurangkan kos itu kepada RM600 juta setahun, penjimatan sebanyak RM290 juta dapat dinikmati. Kalau dikali dengan 30 tahun (ikut konsesi), jumlahnya melebihi RM8 bilion.
Jumlah itu boleh menampung lebih separuh daripada perbelanjaan Sumbangan Asas Rahmah dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah RM13 bilion tahun ini.
Mengambil kira cadangan persatuan konsesi seperti dalam laporan PAC supaya satu tender terbuka bagi pemilihan Central Tolling Company (CTC), kerajaan wajar melaksanakannya bagi mendapatkan syarikat terbaik untuk jaminan kos.
Tidak perlu terhad kepada syarikat tertentu sahaja dan ambil kira pelbagai aspek penilaian seperti pengalaman serta kemampuan kewangan syarikat terbabit supaya pelaksanaan MLFF berjalan lancar dengan kos efisien.
Pendekatan itu selaras dengan pendirian Anwar Ibrahim yang mahu tatakelola dan tadbir urus baik dilaksanakan dalam pentadbirannya.
Semoga Aidilfitri dan perayaan lain mendatang, pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan lebih selesa (atau sedikit selesa) dengan adanya MLFF.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Source link