Maklum kepada Speaker untuk tentu status 6 Ahli Parlimen, Bersatu diberitahu

Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor berkata, perlu ada ‘hitam putih’ sebelum status 6 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong perdana menteri ditentukan berlandaskan peruntukan perlembagaan.
KUALA LUMPUR: Bersatu diminta memaklumkan secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung kelulusan pindaan perlembagaan parti itu oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk menentukan status enam Ahli Parlimennya yang menyokong perdana menteri.
Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor berkata, status enam Ahli Parlimen itu kemudiannya akan ditentukan berlandaskan peruntukan perlembagaan.
“(Bersatu) kena maklumkan kepada Speaker, baru proses (dalam Dewan Rakyat) boleh berjalan. (Makluman) kena diangkat kepada Speaker, kemudian (status enam Ahli Parlimen itu) akan diputuskan berdasarkan peruntukan undang-undang.
“Kena ada hitam putih, bukan dengan cakap-cakap di luar,” katanya sambil menambah, parti itu tidak perlu menunggu sidang Dewan Rakyat untuk memaklumkan perkara itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan pakaian dan sumbangan kepada pelajar OKU SK Pendidikan Khas (SKPK) Kampung Baru.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin memberitahu FMT, kedudukan keenam-enam Ahli Parlimen itu “belum selamat” dan parti akan menunjukkan bukti untuk mengesahkan mereka melanggar perlembagaan parti dan perlu mengosongkan kerusi.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tindakan Bersatu seterusnya termasuk bukti yang akan ditampilkan.
Enam ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar terdiri daripada Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Perhimpunan agung khas Bersatu pada 2 Mac lepas meluluskan pindaan Perkara 10 perlembagaan parti, yang melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak lain, bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Suhaili bagaimanapun berkata, pindaan itu tidak terpakai bagi mereka kerana JPPM menetapkan ia hanya berkuat kuasa pada 1 April, sedangkan mereka menyatakan sokongan kepada Anwar sekitar Oktober hingga Januari lepas.

Source link

bersatudewan rakyatHamzah Zainudinjppmmakluman-bertulisperlembagaan-partipindaanramli-mohd-norSpeaker
Comments (0)
Add Comment