Sekretariat Keselamatan dan Perlindungan Awam Mexico berkata, Airbus A320 yang sama dengan gambar ini terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Guadalajara. (Gambar Airbus)
GUADALAJARA: Seorang lelaki ditahan selepas cuba melencongkan sebuah pesawat dalam penerbangan menuju Mexico ke Amerika Syarikat (AS), menurut pihak berkuasa.
Airbus A320 yang berlepas dari bandar Leon di Guanajuato menuju bandar barat laut Tijuana sekitar 7.17 pagi waktu tempatan, terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Guadalajara kira-kira 45 minit selepas penerbangan.
“Subjek menyerang seorang pramugari dan cuba memasuki kokpit untuk melencongkan penerbangan ke AS,” kata Sekretariat Keselamatan dan Perlindungan Awam dalam kenyataan.
Tetapi, kru berjaya menahan lelaki itu – yang dilaporkan terbang bersama keluarganya – dan mengeluarkan amaran melakukan pendaratan cemas di Guadalajara.
Menurut laporan pengendali penerbangan Volaris, “penyerang memberitahu seorang saudara terdekatnya diculik dan ketika berlepas dari Leon, penculik mengugut akan membunuh mangsa jika dia ke Tijuana”.
Dua kenyataan itu tidak memperincikan jumlah penumpang dalam penerbangan domestik itu.
Selepas ditahan, penerbangan itu meneruskan perjalanan ke destinasi asal Tijuana.
Guanajuato antara negeri paling teruk dilanda keganasan kartel dadah, yang berkembang sehingga membabitkan jenayah termasuk pemerasan dan penculikan.
Source link