PETALING JAYA: Lelaki yang tular ketika cuba melarikan diri daripada polis dengan memecut kenderaannya, berjaya ditahan di Jalan Persiaran Pinggiran Putra Seri Kembangan, Serdang hari ini.
Suspek berusia 41 tahun sebelum itu enggan memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan ketika diarahkan polis yang melakukan tugas ronda jenayah, kira-kira 1 tengah hari tadi.
Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan, berkata anggota berkenaan terserempak kereta Honda City dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan dan menghampirinya.
“Selepas memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis, secara tiba-tiba suspek melarikan diri dengan memecut keretanya menuju ke Puchong melalui Lebuhraya Damansara Puchong.
“Selepas diekori, lelaki berkenaan berjaya ditahan dan pemeriksaan padanya menemui satu peket plastik lutsinar disyaki syabu, malah semakan mendapati suspek memiliki 18 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.
Beliau berkata kes itu dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan komen yang boleh mengganggu siasatan.