Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu diberi ruang untuk membincangkan pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya termasuk pengerusinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Badan pemantau pilihan raya Bersih menggesa pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan kosong bulan depan dibuat melalui jawatankuasa parlimen.
Jawatankuasa pemandunya dalam kenyataan berkata pelantikan menerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya perlu supaya proses berkenaan dapat diteliti secara demokratik oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Reformasi pelantikan ini adalah mustahak, tambahan lagi pengerusi SPR seterusnya berkemungkinan besar akan mempunyai tanggungjawab mengkaji dan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Ahli-Ahli SPR perlu dilantik melalui mekanisme yang telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan dan kemandirian SPR,” katanya dalam kenyataan.
Jawatan pengerusi SPR kini disandang Abdul Ghani Salleh yang dilantik ke jawatan itu pada Ogos 2020.
Dalam pada itu, Bersih meminta kerajaan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) yang kali terakhir dipinda pada 2003.
Jawatankuasa pemandu itu berkata Bersih melakukan bengkel libat urus dengan semua parti politik dan mengenal pasti 19 seksyen di dalam AKPR yang perlu dipinda.
“Ia termasuk seksyen berkenaan rasuah, had belanja pilihan raya dan menaikkan hukuman denda bagi setiap kesalahan, selain perlu memasukkan peruntukan baharu untuk memodenkan akta ini seiring keperluan semasa.
“Antaranya larangan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen pilihan raya dan keperluan mengaudit belanja pilihan raya oleh calon-calon,” katanya.
Source link