Norza Zakaria melalui tempoh presidensi BAM paling mencabar dalam sejarah dari 2017 hingga bulan lalu, yang penuh pelbagai pembaharuan dan dugaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Norza Zakaria, nama yang terkenal sebagai pemimpin transformasi dalam sukan nyata tidak sempat berehat sejak dilantik baru-baru ini sebagai naib presiden Asia Tenggara Majlis Olimpik Asia (MOA).
Wajah baharu dalam sukan Asia itu sudahpun mula mengubah cabaran menjadi peluang dengan membuat pelan serta merancang program pembangunan secara berterusan yang sentiasa dikemas kini.
Sukan badminton menjadi yang pertama merasai manfaat daripada komitmen beliau untuk memajukan sukan di seluruh Asia.
Pastinya beliau nampak cukup bersedia menghadapi apa saja cabaran melihat kepada pengalamannya sendiri mengetuai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai presiden sejak 2018, selain pernah menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Norza melalui tempoh presidensi BAM paling mencabar dalam sejarah dari 2017 hingga bulan lalu, yang dipenuhi pelbagai pembaharuan dan dugaan.
Katalah apa saja, sama ada anda bersetuju atau tidak dengan caranya, tidak dapat dinafikan beliau berjaya menangani semuanya dengan baik, kata pegawai MOM dan BAM yang melihat keupayaan Norza dilantik sebagai naib presiden MOA tanpa dicabar sebagai bukti kepimpinan dan dedikasinya terhadap sukan Olimpik.
Beliau adalah rakyat Malaysia kedua selepas Allahyarham Hamzah Abu Samah pada 1980-an, yang menjadi naib presiden MOA (sebelum ini dikenali sebagai Persekutuan Sukan Asia) pada 1980-an.
Pemimpin MOM dan BAM berkata Norza seorang yang bersifat teratur, fokus dan strategik, dengan wawasan meluas terhadap pembangunan di masa depan.
Menurut mereka, reputasi Norza memimpin transformasi dalam sukan semakin jelas selepas beliau dilantik tanpa dicabar bagi penggal 2024-2028 pada perhimpunan agung MOA di New Delhi, India, pada 8 Sept.
Impak kepimpinannya terhadap sistem Olimpik Asia jelas tampak susulan penubuhan Pusat Badminton Prestasi Tinggi Asia di Kuala Lumpur. Pusat itu yang terletak di Akademi Badminton Malaysia (ABM), dengan kemudahan latihan bertaraf dunia, dilihat sebagai penting dalam memajukan sukan badminton di Asia.
Inisiatif ini adalah kolaborasi antara MOA, Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Malaysia dan BAM. MOM adalah NOC untuk Malaysia.
Ia menandakan babak baharu bagi sukan badminton di Asia, dan menggambarkan komitmen semua pihak terbabit untuk memajukan sukan itu pada peringkat serantau dan antarabangsa.
Pada Mei tahun lalu, Norza mencadangkan idea pembinaannya kepada Ketua Pengarah MOA Husain Al-Musallam yang nyata kagum dengan kemudahan serba moden di ABM yang kini menjadi hab latihan utama untuk pasukan badminton kebangsaan selain menjadi lokasi BAM.
Menerusi skim pembangunan berstruktur MOA, pusat itu menawarkan latihan prestasi tinggi kepada pemain, memenuhi keperluan membangunkan NOC, selain membuka peluang pembangunan lebih meluas untuk jurulatih dan pengadil.
Ujian besar
Impak sebenar strategi Norza ini mungkin dapat dilihat dalam beberapa tahun akan datang, tetapi beliau kini mampu bergantung kepada bimbingan presiden MOA yang baru dilantik, Randhir Singh dari India, yang juga bersemangat menjadikan Asia sebagai kuasa sukan dominan di persada dunia.
Randhir sendiri berdepan cabaran membimbing sebuah benua yang menyaksikan pertumbuhan sukan signifikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun pada masa sama turut berdepan cabaran penting dari segi infrastruktur dan organisasi.
Norza juga akan menangani isu yang perlu diselesaikan pemimpin-pemimpin MOA ini di peringkat Asia, khususnya melibatkan peluasan Sukan Asia dan tekanan dirasai negara tuan rumah yang mengadakan acara sukan berkenaan.
Lebih 15,000 atlet mengambil bahagian dalam Sukan Asia di Hangzhou pada 2023. Untuk konteks, Sukan Olimpik di Paris melihat penyertaan 10,500 atlet.
Dalam pada India membida untuk menjadi tuan rumah Olimpik Remaja 2030 – langkah awal dalam cita-citanya menjadi hos sukan Olimpik 2036 – Norza sendiri pasti tidak menang tangan apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2027 kelak.
Biarpun jawatan dalam MOA satu pencapaian hebat untuk Norza, tidak dinafikan ia bukannya tugas yang mudah. Malah beban tanggungjawab disandangnya ini amat besar apabila NOC setiap negara Asia Tenggara telah menamakannya sebagai pemimpin yang dapat membawa perubahan.
Kesediaan Norza berdepan ujian baharu dalam sukan meletakkan Malaysia dalam kedudukan berpengaruh bagi memacu tadbir urus baik, kepimpinan dan pembangunan sukan global.
Keluarga MOA juga tidak asing bagi Norza memandangkan penglibatannya sejak 2019, dan yang pastinya beliau mempunyai idea jelas arah tuju perancangannya.
Source link