PETALING JAYA: Laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin dibuat setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, kerana dakwaan ‘berkomplot’ menyembunyikan titah adendum.
Suraya Yaacob menerusi laporan Sinar Harian, berkata apa diperkatakan bekas ketua Pemuda Umno itu tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai anggota Jemaah Menteri.
Perkara itu juga mengelirukan rakyat dan menimbulkan perasaan tidak senang serta menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara.
Penggunaan perkataan “komplot” katanya, adalah keterlaluan kerana ia membawa maksud terlibat atau dikaitkan dengan perbuatan menyalahi undang-undang atau tidak beretika.
“Perkataan berkenaan juga membayangkan bahawa Azalina secara sedar telah membantu, menyokong atau membenarkan perbuatan menyalahi undang-undang berlaku.
“Tambahan lagi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dalam satu kenyataan pada Jumaat turut mengesahkan bahawa Azalina bukannya ahli lembaga pengampunan mahu pun terlibat dalam apa-apa urusan pentadbiran berkaitan pengampunan mana-mana banduan.
“Titah adendum hanyalah khabar angin kerana pembuat dokumen tidak membuat sebarang kenyataan sehinggalah Istana Pahang mengeluarkan surat pengesahan pada 4 Januari 2025 lalu,” menurut laporan itu.
Katanya, Khairy perlu disiasat kerana mempunyai niat jahat mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan menyebarkan maklumat palsu yang mengganggu ketenteraman awam dan mengikut Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dilaporkan, Khairy menerusi audio siar ‘Keluar Sekejap’ pada Jumaat, mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan membenarkan Najib Razak menghabiskan hukuman pemenjaraan bawah tahanan rumah.