Geely secara rasmi telah membuka kilang baharu di Bandar 6 Oktober, Mesir bagi menghasilkan model sedan Emgrand (asas untuk Proton S70) dan juga SUV Coolray (asas untuk Proton X50), lapor akhbar tempatan Ahram Online.
Kilang berkenaan dibuka dengan kerjasama Auto Mobility (Geely Mesir), dan ia merupakan fasiliti industri pertama dibuka oleh Geely di kawasan Mesir, Afrika dan Timur Tengah. Kilang tersebut menampilkan dua barisan produksi yang mampu menghasilkan 10,000 unit kenderaan setahun untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan, serta boleh mengeksport 30,000 unit kenderaan untuk dipasarkan ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).
Geely dan Proton sebelum ini sudahpun bersama-sama berada dalam pasaran Mesir, masing-masing dengan rakan kerjasama yang berbeza. Dua bulan lalu Proton turut baru membuka kilang pemasangannya di Mesir juga dengan perancangan untuk mengeksport kenderaan ke pasaran MENA, namun buat masa sekarang hanya menghasilkan Saga dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).
Proton sebelum ini turut sudah menunjukkan kemampuannya untuk menghasilkan X50 dalam versi LHD di mana 200 unit model berkenaan diumumkan sudah diekpsort ke Vietnam. Jadi dengan perkembangan terbaharu ini nampaknya pasaran Proton di Mesir dan MENA mungkin hanya terhad pada model-model mampu milik seperti Saga serta model baharu berasaskan platform AMA pada masa akan datang?
Walau bagaimanapun, Proton sebelum ini mendakwa bahawa kilangnya di Mesir tersebut mampu menghasilkan sebanyak 50,000 unit kenderaan setahun, lebih besar dari kilang Geely di sana yang hanya mampu menghasilkan sebanyak 30,000 unit kenderaan setahun, atau 1/3 dari jumlah produksi kilang utamanya di Tanjong Malim buat masa sekarang. Sekiranya angka yang dinyatakan ini adalah realistik, ini bermakna Proton berpotensi untuk menjual lebih banyak kereta di MENA berbanding Geely.
Dalam perkara berasingan, Proton kini sudahpun berada di pasaran Afrika Selatan dengan menjual model-model rebadge Geely seperti X50, X70 dan X90 dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Sedan S70 juga telah dirancang untuk di bawa ke sana tetapi ia masih tertangguh sehingga sekarang. Ada khabar angin menyatakan Geely mungkin turut akan masuk ke pasaran Afrika Selatan dengan melancarkan SUV EV kembar Proton eMas 7 iaitu Geely EX5.


November lalu kami sudahpun melaporkan bahawa Geely kini masuk ke pasaran-pasaran utama RHD termasuk Thailand, Indonesia, Australia dan New Zealand, di mana ia sepatutnya menjadi milik Proton seperti persetujuan awal kerjasama kedua-dua jenama itu yang menjanjikan bahawa Proton akan menjadi hab bagi pasaran-pasaran RHD.
Namun selepas itu Geely memberikan respon bahawa ia tidak melupakan Proton dengan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai hab produksi dan R&D serantau menerusi projek Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di kampung halaman Proton iaitu Tanjong Malim.
“Geely akan memasuki dan mewujudkan rangkaian pengedar dalam pasaran yang Proton masih belum ada, bermula dengan produk NEV untuk membina reputasi jenama, yang akan menjadi pelengkap kepada produk sedia ada Proton,”” kata Ash Sutcliffe, pengarah perhubungan awam Geely Holding Group kepada paultan.org bulan lalu, dengan maksud bahawa Geely dan Proton tidak akan bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang sama.
“Geely akan memanfaatkan sumbernya dalam pasaran ini, sama ada untuk membantu kemasukan Proton pada masa hadapan atau mengeksport produk dari Malaysia menggunakan AHTV sebagai hab pengeluaran, memaksimumkan sinergi dengan Proton dan rakan kongsi kami DRB-Hicom,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.