SEREMBAN: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, hari ini secara terbuka meminta peguam negara mengumumkan hasil siasatan kes melanggar arahan kuarantin wajib terhadap beliau.
Katanya hingga kini beliau belum menerima maklumat berhubung perkembangan terkini kes tersebut.
“Saya tunggu peguam negara mengumumkan apa hasil siasatan kes dan kemudian barulah timbul soal dakwa atau tidak.
“Saya juga serah kepada kerajaan untuk bertindak ke atas saya sekiranya saya ada membuat kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) hari ini.
Pada 30 Sept lalu, dilaporkan polis sedang memperkemas kertas siasatan berhubung kes itu seperti yang diarahkan oleh Jabatan Peguam Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, dipetik berkata kertas siasatan akan diserahkan semula kepada Jabatan Peguam Negara apabila proses tersebut selesai.
Khairuddin sebelum ini berdepan kritikan termasuk desakan agar beliau meletakkan jawatan susulan kegagalannya mematuhi arahan kuarantin wajib mencegah penularan Covid-19 sekembali dari Turki pada Julai.