PETALING JAYA: Tempoh reman seorang lelaki dipercayai pemilik kebun disambung dua hari bagi membantu siasatan kematian dua kanak-kanak termakan keropok beracun minggu lalu.
Perintah reman enam hari lelaki 33 tahun itu bermula Khamis lalu tamat hari ini.
Menurut Sinar Harian, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan, iaitu kelakuan cuai berhubung benda beracun.
Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dilaporkan meninggal dunia Rabu lalu, manakala adiknya Muhammad Luth, 2, dua hari kemudian.
Ahad lalu, dua beradik itu dilaporkan mengambil keropok disyaki bercampur racun tikus yang digantung di pagar dawai besi kebun kira-kira 50m dari rumah mereka di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim.
Pemilik kebun dipercayai berbuat demikian bagi menghalau haiwan liar berkeliaran dan mengganggu tanaman.