PETALING JAYA: Kertas cadangan syarikat robotik marin, Ocean Infinity berkaitan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dijangka dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri Ogos depan.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook bagaimanapun berkata pihaknya perlu menyediakan kertas cadangan secara terperinci terlebih dahulu sebelum ia dibawa ke Kabinet.
“Setakat ini, kita belum buat keputusan lagi kerana kertas cadangan belum dibawa ke Kabinet. Ia perlukan masa sebab kita memerlukan kertas cadangan daripada mereka (Ocean Infinity) dulu.
Ia akan naik (dibawa) ke Kabinet pada Ogos nanti untuk dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan dewan baharu terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sheikh Ahmad, Sikamat, lapor Berita Harian.
Sabtu lalu, kumpulan ahli keluarga penumpang dan anak kapal dilaporkan berkata Ocean Infinity telah membentangkan pelan baharu pencarian pesawat berkenaan kepada Loke dan ia diterima baik oleh menteri pengangkutan itu serta pasukannya.
Sebelum ini, Loke berkata beliau akan bertemu dengan Ocean Infinity pada awal bulan Mac untuk membincangkan kemungkinan menyambung semula pencarian MH370.
Terdahulu, Ocean Infinity melaksanakan pencarian di Lautan Hindi pada 2017 dan berakhir pada 2018.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.