KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memperuntukkan sejumlah dana dalam Belanjawan 2021 yang boleh digunakan untuk aktiviti latihan dan meningkatkan kemahiran, terutama bagi pekerja yang diberhentikan berikutan pandemik Covid-19, kata seorang ahli akademik.
Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Shazali Abu Mansor berkata, pekerja yang diberhentikan, kebanyakannya daripada industri yang terjejas teruk seperti pelancongan, perhotelan dan penerbangan, yang menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan baharu.
Beliau berkata, memandangkan sukar untuk mendapat pekerjaan baharu berikutan kadar pemulihan yang perlahan dalam dunia korporat selain kepakaran terhad, pekerja yang kini kehilangan pekerjaan memerlukan sokongan segera daripada kerajaan.
“Mereka yang diberhentikan perlu dibantu tanpa mengira dari syarikat mana.
“Bayangkan, apa yang dapat dilakukan oleh kru penerbangan dan juruterbang yang diberhentikan? Kepakaran mereka adalah dalam industri penerbangan.
“Kerajaan perlu bantu. Melatih semula mereka dan memberi elaun semasa latihan. Saya percaya akan ada syarikat yang bersedia untuk mengambil mereka,” katanya kepada Bernama.
Belanjawan 2021 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.
Impak daripada pandemik Covid-19 terhadap industri penerbangan menyaksikan banyak syarikat penerbangan mengambil langkah mengurangkan kos secara besar-besaran, termasuk memberhentikan pekerja.
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia mengurangkan lebih 250 daripada kakitangannya pada awal Jun.
Pada 9 Oktober, syarikat penerbangan itu mengesahkan terpaksa memberhentikan 10% lagi daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya untuk terus bertahan dalam industri itu.
Sementara itu, syarikat penerbangan perkhidmatan penuh hibrid, Malindo Airways dilaporkan akan memberhentikan kira-kira 2,200 kakitangan (lebih daripada separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya) dan mengurangkan saiz kumpulan pesawatnya kepada 11 pesawat.
Bagi Malaysia Airlines Bhd dan Firefly, pada 22 Oktober lepas, syarikat induk mereka, Malaysia Aviation Group (MAG) menawarkan skim persaraan awal kepada pekerja dengan pembayaran sehingga 3 bulan gaji.
Skim Permohonan Persaraan Awal MAG itu disasarkan kepada pekerja berpangkalan di Malaysia yang berusia 45 tahun dan ke atas serta berkhidmat dengan syarikat secara berterusan selama minimum 10 tahun, termasuk tempoh perkhidmatan dalam kumpulan Malaysia Airlines.