Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut selepas kertas siasatan diserahkan pada pendakwa bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kes pekerja pembinaan mendakwa diserang sekumpulan lelaki termasuk seorang anggota kerabat diraja sedang dikaji pejabat timbalan pendakwa raya, kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.
Katanya, pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut selepas kertas siasatan berhubung kes itu diserahkan bulan lalu.
“Kami sedang menunggu sebarang perkembangan atau hasil baharu,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau turut memberi jaminan tiada penutupan kes atau usaha menutup isu itu.
Semalam, dilaporkan mangsa lelaki berusia 44 tahun mendakwa tiada tindakan diambil mengenai kesnya kerana pihak polis berdiam diri.
Lelaki itu meluahkan kekecewaan dan mengatakan masih menunggu perkembangan mengenai kes tersebut.
Mengulas perkara itu, Yahaya berkata, mangsa sepatutnya menghubungi pegawai penyiasat mengendalikan kes bagi memperoleh maklumat terkini.
“Dia boleh pergi ke balai polis Kuantan atau menghubungi pegawai penyiasat untuk mendapatkan kemas kini kes…jangan buat tuduhan terhadap jabatan,” katanya.
Pada 5 Sept, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, bertitah tiada siapa yang berada di atas undang-undang termasuk kerabat diraja, dan menggesa polis segera menjalankan siasatan terperinci.
Source link