Kembalikan Kementerian Undang-Undang, kata pegawai Majlis Peguam

0


Majlis Peguam menggesa kerajaan mewujudkan semula Kementerian Undang-Undang, berbanding meletakkan jabatan itu di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri.

PETALING JAYA: Hidupkan semula Kementerian Undang-Undang demi pacu reformasi institusi, kata pengerusi bersama undang-undang berpelembagaan Majlis Peguam.

Andrew Khoo yang juga peguam hak asasi, berkata sebelum era pertama pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, kementerian itu pernah diwujudkan sebelum perdana menteri keempat itu menurunkan statusnya sebagai jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri, ketika beliau menerajui kerajaan, pada 1981.

“Tiba masa mengembalikan keadilan dan undang-undang di bawah kementerian sendiri sekali lagi. Kementerian seperti itu boleh melihat kepada reformasi institusi, jenayah dan hukuman,” katanya kepada FMT.

Khoo juga mencadangkan Jabatan Penjara dipindahkan dari Kementerian Dalam Negeri ke Kementerian Undang-Undang bagi pengurusan lebih baik.

Andrew Khoo.

“Kita perlu bertanya mengenai idea keadilan. Soalan tentang mengapa penjara kita sesak dan sama ada dengan menghantar orang ke penjara menjadi jawapan kepada kesalahan berkaitan dadah.

“Dan bagaimana pula perkembangan semasa berhubung reformasi dan rehabilitasi, selain apa pula kadar residisvisme,” katanya.

Menurut Khoo, reformasi institusi lain yang patut dilaksanakan juga membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), diletakkan di bawah kawal selia Parlimen, berbanding di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri ketika ini.

Beliau juga menggesa sistem pelantikan telus berkait jawatan tertinggi dua agensi berkenaan di mana pencalonan boleh dibuat orang awam untuk dipilih Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Khoo menyokong kritikan terhadap keputusan kerajaan menguatkuasakan Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), tahun depan.

Beliau menggesa kerajaan kembali menggunapakai deraf awal yang dicadangkan pada 2019, iaitu Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Akta itu (IPCC) lebih buruk daripada harimau tidak bertaring,” katanya.

Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, dilaporkan berkata dalam kunjungan sulung rasmi ke Bukit Aman, Akta IPCC akan dikuatkuasakan, pada Jun depan.

IPCMC yang bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dirangka demi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pasukan polis, pertama kali dicadangkan pada 2015, ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri, namun mendapat bantahan terutama dari polis.

Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC kemudian dibentangkan di Parlimen oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH), pada 2019. Bagaimanapun, susulan kejatuhan kerajaan PH, RUU IPCC pula dikemukakan sebagai gantian, pada 2020.

RUU IPCC – yang dianggap “versi lemah” berbanding RUU IPCMC – diwarta menjadi undang-undang, pada Julai lalu.

Pada Khamis, Majlis Peguam mahu Putrajaya meminda Akta IPCC bagi memasukkan peruntukan yang terdapat dalam IPCMC, memandangkan peruntukan sedia ada tidak mampu memenuhi jangkaan mewujudkan ketelusan dan kawalselia lebih baik bagi pasukan polis.

Source link

Leave A Reply
Bitcoin (BTC) RM416,098.45
Ethereum (ETH) RM7,969.61
Tether (USDT) RM4.36
BNB (BNB) RM2,632.76
USDC (USDC) RM4.36
XRP (XRP) RM10.03
BUSD (BUSD) RM4.31
Cardano (ADA) RM3.11
Solana (SOL) RM649.82
Dogecoin (DOGE) RM0.780661
Polkadot (DOT) RM18.54
Polygon (MATIC) RM1.04
Lido Staked Ether (STETH) RM7,961.37
Shiba Inu (SHIB) RM0.00006
Dai (DAI) RM4.36
TRON (TRX) RM1.07
Avalanche (AVAX) RM96.60