Pemangku Ketua Polis Selangor S. Sasikala Devi berkata polis telah pun selesai mengambil keterangan seramai 36 saksi bagi membantu siasatan kes dan setakat ini tiada tangkapan susulan dibuat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Masalah peribadi antara mangsa dan suspek dipercayai menjadi punca berlakunya insiden letupan yang mengorbankan seorang pelayan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang, 29 Dis lalu.
Pemangku Ketua Polis Selangor S. Sasikala Devi berkata mangsa dan kedua-dua suspek yang berumur 33 dan 30 tahun merupakan kenalan sejak dari kampung di Kedah, dengan si suami bekerja sebagai seorang kontraktor, manakala isterinya seorang suri rumah.
Bagaimanapun Sasikala enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada kejadian itu bermotifkan cemburu.
“Setakat ini polis telah pun selesai mengambil keterangan seramai 36 saksi bagi membantu siasatan kes dan setakat ini tiada tangkapan susulan dibuat. Proses soal siasat terhadap pasangan suami isteri ini masih dijalankan.
“Serbuan juga telah dilakukan di rumah mereka di Serdang, Kedah pada Khamis lepas dan polis berjaya merampas beberapa barang kes antaranya pisau pemotong kertas dan mercun bola yang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan,” katanya lapor Bernama pada sidang media di sini hari ini.
Kedua-dua suspek ditahan pada Rabu lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes berkenaan.
Pada 29 Dis lepas, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.