PETALING JAYA: Kadar kebolehpasaran graduan pusat bertauliah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 2022 adalah sebanyak 72.3% berbanding 66.3% pada 2021.
Menurut Bernama, KPKM memaklumkan sejak 1969 sehingga kini, kementerian itu berjaya menghasilkan 24,801 graduan terlatih yang menamatkan pengajian di pusat latihan di bawah KPKM.
“Pertambahan jumlah tenaga mahir dalam bidang agromakanan dapat mempertingkatkan lagi daya saing industri agromakanan negara di pasaran global seterusnya menjamin kelangsungan bekalan makanan,” kata KPKM dalam kenyataan sempena Majlis Konvokesyen Pertanian 2024 di Putrajaya, hari ini.
Seramai 982 graduan telah menerima sijil dan diploma mereka.
Menurut KPKM, graduan telah mengikuti sembilan bidang persijilan kemahiran antaranya tanaman, ternakan ruminan, akuakultur marin dan pengeluaran padi dan tiga persijilan daripada jabatan di bawah KPKM iaitu Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan.
Selari aspirasi pelaksanaan dan pembudayaan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) oleh KPKM, graduan lulusan pusat bertauliah KPKM bukan sahaja mempelajari kemahiran teknikal tetapi turut diterapkan ilmu keusahawanan sepanjang tempoh pengajian untuk menjadi nilai tambah di alam pekerjaan atau sebagai asas menjadi usahawan agromakanan berjaya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan sama berkata KPKM mendokong visi negara ke arah membangun Malaysia Madani di samping memastikan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) diterapkan melalui pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan.
“Oleh yang demikian, bagi memastikan semua graduan berkemahiran sentiasa relevan dalam industri pertanian, adalah penting bagi kerajaan memperkasakan jaringan ekonomi digital di seluruh negara melalui pelaksanaan pelbagai kerangka strategi serta pelan tindakan termasuk juga dalam pembangunan dan pengukuhan program TVET di bawah kawal selia KPKM,” katanya.
Menurut Arthur, KPKM juga telah meluluskan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM26.3 juta untuk penyelenggaraan infrastruktur di Pusat Bertauliah KPKM bagi menyediakan prasarana lengkap dan baik untuk pelatih merangkumi 14 program pembangunan yang terlibat di seluruh negara.