Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) berkata parti politik tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan mengapi-apikan kemarahan rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Sarawak tersinggung dengan gelaran kafir dilaungkan sesetengah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, sambil mengingatkan “kafir inilah yang menyumbang sebilangan mereka merasai menjadi kerajaan”.
Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo), berkata beliau kesal dengan pelbagai gelaran dilemparkan termasuk “pengkhianat”.
“Saya ingin berpesan pada mana-mana pihak, jangan kita labelkan orang ini kafir, orang itu pengkhianat, orang itu tidak baik, orang ini tidak baik. Saya ingin berpesan kerana kafir inilah yang membantu ada di antara anda menjadi dan merasa menjadi kerajaan.
“Saya amat tersinggung dengan sebutan itu kerana saya sebagai rakyat Malaysia, saya tak pernah ganggu gugat hak rakyat Malaysia dan kita harus belajar,” katanya di Dewan Rakyat.
Pada 17 Okt, Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) didakwa menyebut “DAP kafir” sehingga mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Marzuk sebagai kurang sopan dan biadab kerana DAP juga dianggotai oleh Ahli Parlimen beragama Islam.
Susulan itu, pada 23 Okt, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menegur Ahli Parlimen supaya tidak mengungkapkan perkataan sensitif seperti kafir, zionis, dan yahudi di Dewan Rakyat.
Sebaliknya, Johari meminta Ahli-ahli Parlimen untuk membawa isu rakyat serta negara sebagai matlamat utama dan tidak menjadikan Dewan sebagai medan politik.
Sementara itu, Willie berkata parti politik tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengapi-apikan kemarahan rakyat, kerana ia boleh menghancurkan negara.
“Di mana-mana negara, walaupun mereka majoriti dan minoriti, kalau mereka tertekan dengan tahap begitu tinggi mereka juga boleh menjadi seorang perusuh, pembunuh, dan seorang pemberontak,” tegasnya.