KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen PAS mendakwa Jabatan Penerangan membatalkan kad media wartawan Harakah, lidah rasmi parti itu.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, Harakah menerima surat Jabatan Penerangan hari ini menyatakan kad media wartawannya dibatalkan.
“Satu tindakan yang tak pernah akhbar Harakah alami semenjak zaman yang disebut mahazalim,” katanya di Dewan Rakyat, merujuk gelaran bagi bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Dakwaan Fadhli itu disambut pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada Harakah sudah melangsaikan hutangnya, merujuk tunggakan kepada dua pencetak akhbar itu sejak 2019, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd dan NAJ Press Resources.
Angkatan Edaran sudah diisytiharkan bankrap.
Berang dengan pertanyaan itu, Fadhli berkata perkara itu kini di mahkamah.
“Saya tak faham Jelutong jadi peguam macam mana. Kalau benda dah dibicara di mahkamah, tak payah nak bawa ke dalam (Dewan Rakyat).”
Perang mulut tercetus antara Fadhli, Rayer dan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), tetapi dihentikan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul yang memberi amaran kepada Rayer.
Pada 2019, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mendedahkan Harakah berhutang dengan pencetak terdahulu.
Bulan lalu, bekas pencetak Harakah menyelar PAS “hidup mewah” sedangkan tunggakan hutang belum dilangsaikan, menurut Malaysiakini.