Johor buat 11,726 saringan Covid-19 di 5 zon merah

Kerajaan negeri Johor mengambil perhatian serius pertambahan 942 kes positif baru Covid-19 di Singapura, menjadikan jumlah kes kumulatif positif di republik itu 5,992 kes. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Sebanyak 11,726 saringan Covid-19 dilakukan di lima daerah dikategorikan sebagai zon merah di Johor sehingga semalam, dengan 558 kes daripadanya didapati positif.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, daripada 558 kes positif itu, sebanyak 221 kes dilaporkan masih aktif, 326 kes lagi didapati sudah sembuh, manakala 11 kematian dicatatkan di kelima-lima zon merah berkenaan.

“Di zon merah Johor Bahru, sebanyak 2,356 saringan dilakukan dengan mencatatkan 191 kes, Batu Pahat (2,057 saringan/53 kes), Muar (2,101 saringan/47 kes), Kluang (4,300 saringan/222 kes), serta Kulai (912 saringan/45 kes),” katanya pada pengumuman situasi semasa kes Covid-19 di negeri ini yang disiar secara langsung menerusi laman Facebook Makmur Johor, hari ini.

R Vidyananthan

Vidyananthan berkata, kerajaan negeri dalam pada itu, mengambil perhatian serius terhadap pertambahan 942 kes positif baru Covid-19 di Singapura yang menjadikan jumlah keseluruhan kes kumulatif positif di republik itu 5,992 kes.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan terus memastikan prosedur kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura terus dipantau melalui proses saringan yang ketat oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor.

“Prosedur kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura adalah jika disaring dan menunjukkan gejala, mereka akan terus dirujuk ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Bagi yang mempunyai permit pekerjaan dan surat pengesahan ‘Swab Negative Covid-19 RT-PCR Test’, mereka dibenarkan pulang ke rumah dan dibekalkan ‘Health Alert Card (HAC)’, ‘Home Assessment Tools’, Notis Arahan Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Kuarantin di Rumah) dan Rapid Test Kit (RTK) D13.

“Bagi pekerja yang mempunyai permit pekerjaan, tetapi tidak memiliki surat pengesahan ‘Swab Negative Covid-19 RT-PCR Test’ dan mereka yang bukan pekerja di Singapura seperti penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang, akan dihantar ke pusat saringan kesihatan di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), di sini, untuk tindakan lanjut, sama ada dirujuk ke hospital atau dihantar ke stesen kuarantin yang disediakan,” katanya.

Menurut Vidyananthan, purata peratusan pematuhan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh Johor semalam mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 97.17% berbanding 96.84% sehari sebelumnya.

Source link

Comments (0)
Add Comment