KEPUTUSAN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan golongan sasaran mengeluarkan simpanan daripada akaun 1 bakal merangsang pertumbuhan ekonomi iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, dalam jangka pendek iaitu sehingga tahun depan pengeluaran secara bulanan dijangka dapat membantu meningkatkan perbelanjaan penggunaan.
Katanya, melalui peningkatan perbelanjaan penggunaan, ia turut dapat merangsang pertumbuhan KDNK.
“Secara puratanya bagi setiap ringgit yang dibelanjakan setiap individu, ia akan menjana KDNK sebanyak 75 sen.
“Justeru, impak sebenar ke atas pertumbuhan ekonomi sebenarnya bergantung kepada pengganda perbelanjaan dan corak perbelanjaan individu.
“Namun langkah pengeluaran KWSP ini juga akan menjadikan kos ekonomi meningkat untuk jangka panjang kerana negara akan kekurangan dana bagi pelaburan yang akan mendatangkan manfaat jangka panjang.
“Jadi penting untuk mengimbangi antara keperluan jangka pendek dan jangka panjang. Setiap keputusan ekonomi mempunyai risiko. Bagaimana untuk mengurangkan risiko perlu dinilai secara holistik” katanya kepada Bisnes Metro.
Sementara itu, ditanya mengenai sama ada kebenaran mengeluarkan simpanan akaun 1 itu seharusnya diberikan kepada semua pencarum berbanding bersasar, beliau berkata, tindakan itu akan menyebabkan kos pentadbiran tinggi serta memakan masa untuk dilaksanakan.
“Mempunyai sistem pampasan atau pengeluaran mengikut tahap terjejasnya ekonomi individu adalah sangat ideal untuk dilaksanakan.
“Tetapi, dengan mengambil kira situasi semasa dan kekangan maklumat pasaran buruh, pelaksanaan sistem sebegini mempunyai kos pentadbiran yang tinggi dan akan memakan masa untuk dilaksanakan.
“Hal ini kerana maklumat pasaran buruh di Malaysia tidak berpusat dan masih banyak pekerja yang tiada di dalam sistem maklumat buruh.
“Ia akan mengambil masa lama untuk saringan dan menentukan siapa yang layak pada kadar tertentu,” katanya.