Jabatan Pendidikan mempunyai lebih 4,100 kakitangan dan jumlah itu akan dikurangkan kepada 2,183 orang selepas penstrukturan semula berskala besar. (Gambar Wikipedia)
WASHINGTON: Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berkata, ia memberhentikan kira-kira separuh pekerjanya sebagai sebahagian penstrukturan semula berskala besar, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Jabatan itu dalam kenyataan berkata, ia sebahagian “misi terakhirnya”, hampir 50% tenaga kerjanya akan terjejas dengan pemberhentian itu, di mana pekerja diletakkan dalam cuti pentadbiran mulai 21 Mac ini.
Fox News melaporkan semua pekerja dimaklumkan pejabat akan ditutup dari petang Selasa hingga Rabu sebagai sebahagian penstrukturan semula.
Angka rasmi menunjukkan lebih 4,100 orang diambil bekerja oleh jabatan itu sebelum pemotongan berkenaan.
“Selepas tindakan hari ini, tenaga kerja jabatan akan berjumlah kira-kira 2,183 pekerja.”
Ini bukan pengurangan kakitangan pertama dalam agensi persekutuan di bawah kepimpinan Trump.
Presiden AS itu berulang kali menyuarakan hasrat memansuhkan Jabatan Pendidikan sepenuhnya. Semasa kempen pilihan raya, Trump berkata, beliau berhasrat membubarkan jabatan itu.
Minggu lalu, Wall Street Journal melaporkan Trump sedang menyediakan perintah eksekutif untuk membubarkan jabatan itu sepenuhnya. Menjelang petang Selasa, Rumah Putih belum mengulas perkara itu.
Wall Street Journal melaporkan telah memperoleh draf perintah eksekutif yang dilapor mengarahkan Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon mengambil semua langkah perlu untuk menutup jabatan itu selaras “tahap maksimum sesuai dan dibenarkan undang-undang”.
The New York Times melaporkan sebarang resolusi menutup jabatan itu, yang ditubuhkan Kongres pada 1979, mungkin memerlukan kelulusan Kongres. Selain itu, gelombang tindakan undang-undang hampir pasti akan difailkan sebagai tindak balas terhadap langkah sedemikian.
Source link
Next Post