Isu Menara KL: Syarikat dakwa diberi konsesi 30 tahun

Pengarah Urusan MKLSB Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh pada sidang media di Menara KL malam tadi.
KUALA LUMPUR: Syarikat yang dilantik mengendalikan Menara KL pada 2022, iaitu Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), dakwa ia diberi konsesi selama 30 tahun untuk mengurus menara itu.
Menurut MKLSB, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Kementerian Komunikasi serta kerajaan Malaysia bersetuju memberikan konsesi kepada MKLSB dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd, selama 15 tahun bermula 31 Dis 2024 hingga 31 Dis 2039.
Pengarah Urusan MKLSB, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, bagaimana tidak memaklumkan bila persetujuan itu ditandatangani.
“Pada 9 Nov 2022, dalam satu mesyuarat rasmi, pihak UKAS, Kementerian Komunikasi, kerajaan, Hydroshoppe, dan MKLSB turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh konsesi selama 30 tahun sehingga 31 Dis 2054,” katanya pada sidang media di Menara KL malam tadi.
PRU15 diadakan pada 19 Nov 2022.
MKLSB sebelum 2022 adalah anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Berhad (TM) sejak 1996. TM menjual 100% saham MKLSB kepada Hydroshoppe pada Dis 2022.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan kontrak pengurusan dan pengoperasian Menara KL oleh MKLSB berakhir pada 31 Mac 2025 melalui perjanjian interim lanjutan ke-5.
Kerajaan memberikan konsesi baharu selama 20 tahun kepada LSH Service Master Sdn Bhd, pada Mei 2024 dan berkuatkuasa 1 Apr 2025.
Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman untuk mencabar pemberian konsesi itu, menuntut ganti rugi RM20.13 juta dan konsesi dipindahkan kepada mereka.
LSH Capital, iaitu syarikat induk LSH Service Master, berkata pihaknya akan mempertahankan saman itu dan terus memenuhi kewajipannya mengikut perjanjian 20 tahun itu.
Pada April 2023, Hamid didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah bekas menteri komunikasi dan multimedia, Annuar Musa, berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara KL.
Hamid mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan suapan tersebut melalui Tan Ser Lay, sebagai dorongan kepada menteri ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh syarikat berkenaan.

Source link

Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak ShaikhHydroshoppe Sdn BhdMenara KLMenara Kuala Lumpur Sdn Bhd
Comments (0)
Add Comment