Zahid Hamidi pada perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Sektor industri halal serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) antara lima fokus utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diterajui menteri Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata, industri itu yang menyumbang kira-kira 7.9% jumlah eksport produk halal bernilai RM53.72 bilion, mempunyai potensi amat besar bukan sahaja di peringkat domestik malah antarabangsa.
“Pada 2023 sahaja, kadar sumbangan industri halal kepada KDNK direkodkan pada 7.9% dengan jumlah eksport produk halal sebanyak RM53.72 bilion berbanding jumlah keseluruhan eksport negara RM1.426 trilion.
“Saya yakin Mara (Majlis Amanah Rakyat) sendiri boleh memainkan peranannya melalui Gate to Global (GTG). Jika dari tahun 2020 hingga hari ini, RM400 juta jumlah jualan telah disumbangkan kepada KDNK negara melalui syarikat GTG,” katanya ketika perhimpunan bulanan kementerian di Hotel Premiera.
Zahid berkata, KKDW juga merupakan kementerian terbesar yang mempunyai institusi TVET iaitu sekitar 279 institusi.
Selain itu, KKDW melalui program Tabika Pra Tahfiz Kemas yang dimulakan di 100 tabika pada 2023 melibatkan 1,500 kanak-kanak akan diperluaskan kepada 4,145 kelas melibatkan 64,175 kanak-kanak tahun ini.
“Mara sendiri sehingga hari ini melalui sistem pengajian MRSM Ulul Albab telah melahirkan seramai 3,564 huffaz,” katanya.
Beliau berkata, KKDW juga memberikan tumpuan kepada Kongres Ekonomi Bumiputera dalam membentuk satu dasar transformasi ekonomi Bumiputera ke arah melonjakkan usaha pemerkasaan agenda kaum itu.
“Majoritinya adalah pemegang taruh kita, akhirnya kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat desa lebih positif, progresif dan inovatif,” katanya.
Katanya, KKDW juga berhasrat untuk terlibat khusus dalam Suruhanjaya Pekerja Gig, membabitkan latihan dan keusahawanan 1.12 juta pekerja sektor itu.
Dalam ucapannya, Zahid turut berkata, Mara sudah menambah baik ekosistem bidang pelaburan melalui anak syarikatnya Mara Corp dan Mara Liner.
Menurutnya, Mara Liner sudah menjalinkan kerjasama dengan syarikat gergasi China untuk memangkin usaha niaga baharu yang dapat membuka laluan luas melahirkan syarikat Bumiputera berdaya maju dan kompeten.
“Melalui SPV Mara Liner akan menjadi pemangkin kepada industri operasi bas elektrik atas arahan perdana menteri, insya-Allah Prasarana jadi pelanggan pertama bas elektrik, bagi kegunaan Prasarana dan SPV dianggotai Mara Liner peneraju usaha ini,” katanya.
Source link