PETALING JAYA: Beberapa ibu bapa Melayu yang menghantar anak ke sekolah Cina berkata konsert amal tajaan kilang arak boleh diterima selagi dapat memenuhi kepentingan institusi itu.
Lily Diana yang menghantar anak lelakinya berusia sembilan tahun ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai di Selangor, tidak terganggu dengan kontroversi Konsert Amal Pendidikan Cina baru-baru ini yang memaparkan logo Tiger Beer pada bahan acara itu.
“Saya tiada masalah (dengan konsert itu) asalkan wang itu digunakan untuk menambah baik kemudahan sekolah dan sumbangan berkenaan bukan daripada jenama bir terbabit,” katanya kepada FMT.
Kontroversi itu tercetus apabila PAS mengkritik seorang timbalan menteri menerima replika cek RM3 juta tertera logo Tiger Beer pada majlis sebuah SJKC di Sungai Pelek, Selangor.
Kilang arak itu dilaporkan berkata, peranannya hanya menyelaras persembahan artis tempatan dalam konsert, selain bekerjasama dengan persatuan ibu bapa dan guru sekolah serta lembaga pengarah.
Tiger Beer juga berkata, RM413 juta yang dikumpul selama 30 tahun daripada konsert amal tahunan disumbang sepenuhnya masyarakat tempatan dan tiada derma secara langsung daripada syarikat itu kepada mana-mana sekolah.
Zareena yang menghantar anak perempuannya ke SJKC Yuk Choy di Ipoh, tidak kesal dengan keputusan itu kerana keutamaannya adalah kualiti pendidikan anak.
“Saya secara peribadi tidak kisah (dengan kontroversi itu) kerana saya menghantar anak ke sekolah Cina untuk mendapat pendidikan. Saya boleh katakan dia akan mempunyai masa depan cerah selepas menguasai bahasa ketiga dan disiplin sekolah vernakular.”
Pekerja bebas berusia 40 tahun itu juga berkata, konsert amal patut diteruskan selagi tidak memerlukan penyertaan kanak-kanak dan umat Islam.
Tiada promosi produk alkohol
Seorang ibu hanya mahu dikenali sebagai Kai Ern berkata, syarikat arak itu tidak cuba mempromosi sebarang produk alkohol dalam acara sekolah.
“Saya secara peribadi tidak pernah lihat mana-mana kilang arak diiklankan dalam kawasan sekolah,” katanya sambil menambah beliau tidak pernah dengar tentang kilang arak memberi sumbangan kepada SJKC Puay Chai yang dihadiri anak perempuannya.
Joyce yang mempunyai cucu bersekolah di SJKC Yuk Chai di Petaling Jaya, pula berkata konsert yang diadakan setiap tahun sejak 1994 tidak pernah menjadi isu sehingga kini.
Katanya, dana dikumpul akan digunakan untuk menambah baik kemudahan dan infrastruktur sekolah.
“Bagi saya, itu tak mengapa. Mereka tak minta anda minum bir. Mereka hanya menaja acara itu.”
Source link