Tertuduh, Fatin Atikah Abdul Halim, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas 28 pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat lebih RM580,000.
PETALING JAYA: Ibu tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas 28 pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat lebih RM580,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Fatin Atikah Abdul Halim, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, menurut Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif akaun dan pentadbiran kepada syarikat Mihasi Enterprise (M) Sdn Bhd, melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM581,492.45 secara berperingkat ke dalam akaun bank miliknya.
Kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di premis Jalan Pengkalan MK6 Bukit Tengah dalam daerah Seberang Perai Tengah antara April 2022 hingga Jun 2023 dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun serta boleh didenda.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Mukmin Aimi Azmi.
Ketika prosiding, Syafiq Nasrullah merayu jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh perlu menyara anak berusia empat hingga lapan tahun, selain suaminya hanya bekerja pemandu lori dengan gaji RM1,500 sebulan.
Selan itu, tertuduh juga berjanji menuruti segala syarat ditetapkan mahkamah sehingga kes perbicaraan selesai.
Hakim kemudian menawarkan jaminan RM75,000 terhadap semua pertuduhan dihadapi tertuduh dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula pada 23 Ogos ini untuk serahan dokumen.
Source link