Henti sebar video, mesej niat jahat, kata Yeoh susulan keputusan Mahkamah Tinggi

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan, beliau sentiasa menghormati dan mendukung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap video dan mesej berniat jahat yang memberi gambaran beliau cuba menjadikan Malaysia ‘negara Kristian’.

Yeoh berkata, video dan mesej sedemikian boleh menjejaskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap bekas ketua polis negara Musa Hassan.

“Sepertimana yang telah berlaku berkali-kali dalam kerjaya politik saya, kepercayaan saya sekali lagi dijadikan senjata politik oleh pelampau-pelampau agama di luar sana,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

“Saya menyeru semua pihak untuk berdiri teguh membendung percubaan-percubaan ini dan untuk tidak menyebarkan mesej-mesej tersebut apabila mereka melihatnya dalam talian.”

Pada 23 Dis lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman Yeoh yang menuduh Musa memfitnahnya bahawa beliau cuba menjadikan Malaysia sebagai ‘negara Kristian’.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi berkata, Yeoh gagal membuktikan dakwaan itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Peguam mewakili Yeoh telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Mengulas lanjut, wakil rakyat DAP itu berkata, terdapat banyak mesej dan video Whatsapp yang tersebar mempolitikkan keputusan tersebut dengan juga memberi gambaran beliau mahu memurtadkan orang Islam.

Yeoh bagaimanapun menegaskan, dakwaan sedemikian tidak benar sama sekali.

“Saya sentiasa menghormati dan mendukung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam di Malaysia.

“Saya telah mengangkat sumpah jawatan serta bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan … saya ambil dengan serius (sumpah ini) dan akan saya patuhi pada setiap masa,” katanya.

Source link

Agama IslamHannah YeohMusa Hassannegara kristianniat jahatPerlembagaan PersekutuanSaman fitnah
Comments (0)
Add Comment