PETALING JAYA: Aktivis membidas syarikat ekonomi gig yang menggesa Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 ‘diperhalusi’, sambil menyifatkan ia taktik korporat menafikan perlindungan asas kepada pekerja sektor itu.
Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal, menuduh syarikat berkenaan sentiasa mencari alasan melambatkan sebarang usaha memberikan jaminan sosial, dan hak pekerja.
“Kami di GEM melihat ini sebagai taktik lapuk syarikat yang mahu mengekalkan status quo – satu sistem menindas pekerja gig dengan mengelak memberikan perlindungan asas seperti jaminan sosial, insurans pekerjaan, dan hak-hak pekerja sepatutnya,” katanya dalam kenyataan.
Jose juga mempersoalkan berapa lama lagi pekerja gig bekerja tanpa perlindungan sewajarnya dan menanggung risiko akibat kecuaian syarikat,
“Hak pekerja gig perlu dilindungi sekarang, bukan esok atau tahun depan. Cukuplah pekerja gig menjadi mangsa eksploitasi sistem yang hanya menguntungkan syarikat,” katanya.
Beliau berkata, GEM tidak akan berdiam diri jika syarikat masih mahu menghalang hak pekerja gig.
“Kami akan terus berjuang dan memastikan suara pekerja gig didengari. Cukuplah mereka menekan pekerja gig selama ini,” katanya.
Semalam, beberapa syarikat ekonomi gig menggesa draf RUU Pekerja Gig 2025 diperhalusi bagi memastikan ia jelas, praktikal, dan dilaksanakan dengan cekap.
Syarikat antaranya seperti Grab, Lalamove, dan ShopeeFood menegaskan pendekatan lebih menyeluruh diperlukan bagi memastikan RUU berkenaan benar-benar memberi manfaat kepada pekerja gig serta industri secara keseluruhan.
RUU Pekerja Gig dijangka dibentang di Dewan Rakyat bulan depan.
Aspek utama RUU berkenaan termasuk pengenalan definisi rasmi untuk pekerja gig, penetapan pampasan minimum, penciptaan mekanisme aduan, dan perlindungan keselamatan sosial seperti sumbangan mandatori kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).