Pasukan SMART berdepan isu logistik dan keselamatan di hari kedua misi kemanusiaan dan operasi SAR di Myanmar.
KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menumpukan usaha mengesan mangsa terperangkap di rumah-rumah ibadat yang terkesan dengan bencana gempa bumi di daerah Sagaing, Myanmar.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada ketika ini diaktifkan di tiga lokasi, iaitu di Masjid Moe Gya, Masjid Nyoo Ma dan Nyat Private School dengan laporan penduduk tempatan menganggarkan 20 mangsa masih terperangkap.
“Pasukan MAS-01 menumpukan fasiliti kritikal iaitu rumah ibadat seperti masjid, tokong, kuil selain sekolah dan hospital,” menurut kenyataan.
Hari ini merupakan hari kedua pasukan itu diatur gerak bagi menjalankan misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nay Pyi Taw tengah hari semalam waktu Myanmar.
Pasukan dengan kekuatan 50 anggota itu kemudian menempuh perjalanan darat sejauh 270km yang mengambil masa 24 jam dengan melalui 10 checkpoint keselamatan sebelum tiba di daerah Sagaing pada 4 pagi tadi waktu Myanmar, dan mendirikan pusat operasi di Sagaing Anniversary Football Pitch.
Operasi SMART di negara itu berdepan isu keselamatan, antaranya terdapat laporan kawasan bergolak yang masih dibom oleh tentera Myanmar dan risiko periuk api yang masih terdapat di sekitar Sagaing terutama di kuil-kuil.
“Gegaran susulan masih kerap berlaku dengan magnitud antara 3 hingga 5.1, memberi risiko runtuhan susulan bangunan yang tidak stabil, berisiko membahayakan Pasukan MAS-01,” menurut kenyataan.
Nadma memaklumkan pasukan SMART juga berdepan isu logistik, seperti bekalan petrol dan peralatan seperti genset, namun perwakilan Malaysia telah membantu mengenal pasti stesen pam yang boleh membekalkan.
Ramalan cuaca panas dengan suhu antara 38 hingga 41 darjah Celsius menyukarkan kerja misi bantuan kemanusiaan dan operasi SAR terutama pada waktu tengah hari.
“Tempoh bencana telah melepasi tempoh kritikal 72 jam. Berdasarkan runtuhan dan cuaca persekitaran, peratusan untuk mencari dan menyelamat mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan semakin menurun.
“Kekurangan bekalan asas bagi mangsa yang terselamat, meningkatkan faktor keterancaman mangsa bencana di kawasan terjejas,” menurut kenyataan.
Jumaat lepas, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas, dengan jumlah korban di Myanmar mencecah hampir 3,000 orang serta ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang.
Source link