Garis panduan pakaian sekolah kekal ketika cuaca panas

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jika berlaku cuaca panas ekstrem, KPM akan berbincang dan mendapatkan laporan susulan sebelum buat keputusan lain.

Kementerian Pendidikan mengekalkan garis panduan sedia ada untuk murid berpakaian seragam dan sukan masing-masing dua hari dan sehari lagi pakaian kokurikulum ketika cuaca panas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan garis panduan sedia ada untuk murid berpakaian seragam dua hari seminggu pada sesi persekolahan akan datang, termasuk 12 kawasan diramalkan mengalami suhu panas tahap berjaga-jaga.

Ini kerana, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan suhu di 12 kawasan itu masih terkawal.

“Setakat ini, arahan berkenaan masih kekal seperti yang diumumkan menteri pada Januari lalu, iaitu dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum,” katanya menurut Harian Metro selepas menghadiri Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sekiranya berlaku cuaca panas ekstrem, pihaknya akan berbincang dan mendapatkan laporan susulan, khasnya daripada MetMalaysia sebelum membuat keputusan lain.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan suhu panas tahap berjaga-jaga diramalkan di 12 kawasan di Kedah, Perlis, Perak dan Sabah, dengan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius, sekurang-kurangnya tiga hari.

Kawasan terbabit termasuk Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap Sik, Baling, Kulim, Kuala Kangsar dan Beaufort.

Source link

cuaca panasgaris panduankementerian pendidikanpakaian seragam
Comments (0)
Add Comment