Ramli Mohd Nor berkata, kenyataan fitnah yang disebarkan di media sosial itu menjatuhkan maruahnya sebagai satu-satunya Ahli Parlimen Orang Asli. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor hari ini membuat laporan polis berikutan hantaran kononnya berbaur hasutan dan memfitnah beliau di TikTok.
Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata, laporan dibuat di Balai Polis Sentul selepas beliau mendapati hantaran pemilik akaun @apong606 itu sangat tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
“Kenyataan ini memalukan serta menjatuhkan maruah saya sebagai satu-satunya Ahli Parlimen mewakili masyarakat Orang Asli,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
“Laporan polis dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu secara sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(C) dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan.”
Ramli berkata, beliau juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung penggunaan rangkaian untuk komunikasi palsu.
Katanya, hantaran itu dipercayai dibuat susulan sesetengah pihak tidak berpuas hati dan tidak bersetuju dengan tindakan beliau melakukan sesi libat urus bagi cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954.
Selain itu, Ramli juga mempertimbang untuk memfailkan saman sivil dengan tuntutan sekurang-kurangnya RM1 juta, selain pemilik akaun itu perlu membuat permohonan maaf secara terbuka selepas siasatan selesai.
Beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenyataan berbaur fitnah dan hasutan itu.
Ramli turut mengingatkan orang ramai, terutama masyarakat Orang Asli, supaya tidak menyebarkan sebarang fitnah melalui platform media sosial.
Source link