Firma dikawal pembantu Jho Low remit £9.45 juta ke akaun Najib, mahkamah diberitahu

Najib Razak berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi dalam kes bicara 1MDB Najib Razak bahawa dua firma dikawal pembantu Low Taek Jho, atau Jho Low, meremit £9.45 juta kepada bekas perdana menteri itu, pada 2014.
Adam Ariff Roslan berkata, dana itu berasal daripada dua pinjaman berjumlah USD1.225 bilion yang diambil oleh 1MDB Energy Holdings Limited, anak syarikat 1MDB, daripada Deutsche Bank pada tahun sama.
Adam berkata, pinjaman pertama berjumlah USD50 juta diterima 1MDB Energy, pada 26 Mei 2014.
Pinjaman kedua pula melibatkan USD975 juta tersedia pada 1 Sept tahun sama, katanya.
Beliau berkata, pada 26 Mei 2014, sebanyak USD175 juta – sebahagian daripada pinjaman USD250 juta – dipindahkan ke akaun Aabar Investments PJS Ltd di British Virgin Islands.
Pada 17 Jun 2014, Aabar Investments PJS memindahkan sejumlah US19 juta kepada sebuah firma asing dikenali Affinity Equity International Partners Limited.
Adam berkata, dua hari kemudian, sebanyak USD1.89 juta daripada USD19 juta dipindahkan kepada Blackrock Commodities (Global) Limited.
Berdasarkan penyata bank, beliau berkata sebahagian USD1.89 juta Blackrock Commodities itu atau £750,000 dipindahkan ke akaun Ambank Najib pada hari sama.
Katanya, pada 3 dan 30 Sept 2014, 1MDB Energy memindahkan USD681 juta daripada USD975 juta diterima di bawah pinjaman kedua kepada Aabar Investments PJS, sebuah entiti Seychelles.
Kurang sebulan kemudian, pada 16 Okt tahun sama, Aabar Investments PJS (Seychelles) memindahkan USD226 juta (daripada USD681 juta) ke akaun Aabar International, sebuah syarikat Barbados.
“Aabar International segera memindahkan jumlah dana hampir sama (USD225 juta) ke akaun Vista Equity International Partner.
“Akaun Vista Equity seakan ‘pass-through account’, yang mana dana dikredit kebiasaannya akan diguna secara keseluruhan atau sebahagiannya untuk dipindah ke pihak ketiga dalam tempoh singkat,” katanya.
Adam berkata, antara 17 Okt dan 17 Dis 2014, Vista Equity mendepositkan sejumlah £8.7 juta dalam akaun Najib.
Pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukaan menyatakan Blackrock Commodities dan Vista Equity dikawal pembantu Low, Tan Kim Loong.
Najib berdepan perbicaraan melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Source link

Comments (0)
Add Comment