MANILA: Filipina dan China mencapai perjanjian ‘sementara’ untuk mengelakkan konfrontasi di sebuah beting dipertikaikan di Laut China Selatan, di mana tentera Filipina ditempatkan di atas kapal terdampar di perairan berkenaan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Perjanjian itu dicapai selepas beberapa siri rundingan di Manila, susulan ketegangan yang meningkat di Beting Thomas Kedua, dikenali sebagai Beting Ayungin oleh Filipina, menurut Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina.
“Filipina dan China mencapai persefahaman mengenai pengaturan sementara untuk pembekalan semula keperluan harian dan misi penggiliran ke kapal BRP Sierra Madre di Beting Ayungin.
“Kedua-dua pihak terus mengiktiraf keperluan meredakan keadaan di Laut China Selatan dan menguruskan perbezaan melalui dialog dan rundingan.
“(Kedua-dua pihak juga bersetuju, perjanjian ini tidak akan menjejaskan kedudukan masing-masing di Laut China Selatan,” menurut jabatan itu dalam kenyataan.
Tiada butiran diberikan mengenai perjanjian itu, tetapi diplomat Filipina sebelum ini berkata, kedua-dua pihak bersetuju mewujudkan talian penting peringkat tinggi bagi mengelakkan konfrontasi semasa perjalanan rutin Filipina untuk membawa bekalan kepada tentera di BRP Sierra Madre.
Beting itu terletak 195km barat wilayah Palawan di Filipina dan berada dalam zon ekonomi eksklusif Filipina.
Source link