PETALING JAYA: Presiden Filipina berkata beliau tiada masalah untuk bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai dalam kempen anti dadah dan menyatakan kesediaan berdepan tuduhan yang boleh menyebabkannya dipenjara walaupun tidak didakwa atas tuduhan jenayah kemanusiaan, lapor South China Morning Post.
Kenyataan Rodrigo Duterte itu menunjukkan beliau sedar kemungkinan berdepan banyak tuduhan jenayah berhubung kempennya yang kejam itu selepas mengambil alih kuasa pada 2016.
Hampir 6,000 suspek penagih dadah dibunuh, menurut laporan polis tetapi badan pemantau hak asasi mengesyaki angka kematian lebih besar.
“Jika terdapat pembunuhan di situ, saya akan bertanggungjawab. Anda boleh anggap saya bertanggungjawab ke atas apa saja, sebarang kematian yang berlaku dalam peperangan terhadap dadah,” kata Duterte.
“Sekiranya anda terbunuh, itu kerana saya marah dengan dadah. Jika itu yang saya katakan, bawalah saya ke mahkamah untuk dipenjarakan. Baiklah, saya tiada masalah. Jika saya berkhidmat untuk negara dan dimasukkan ke penjara, saya berbangga,” katanya.
Terdapat sekurang-kurangnya 2 laporan terhadap jenayah kemanusiaan dan pembunuhan secara besar-besaran berkait dengan kempen Duterte yang sedang diteliti pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang akan memutuskan sama ada ia terdapat bukti mencukupi untuk melakukan siasatan secara menyeluruh.
Duterte memberi respons terhadap laporan berkenaan dengan menarik Filipina daripada tribunal itu 2 tahun lalu dan kumpulan hak asasi manusia berkata ia adalah tindakan terkebelakang dalam perjuangan negara terhadap kekebalan.
Pendakwa raya ICC berkata penelitian terhadap pembunuhan dalam kempen itu akan berterusan walaupun Filipina menarik diri daripadanya.