Ducati memperkenalkan varian baru bagi DesertX, selepas versi standard dan Rally, dipanggil sebagai DesertX Discovery. Mengambil model standard sebagai asas, ia kemudiannya ditambah dengan pelbagai aksesori untuk menjadikannya lebih lasak serta lengkap untuk tujuan jelajah dan juga adventure.
Memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada penunggang, DesertX Rally datang terus dengan penghadang angin hadapan jenis touring, pemanas tangan, fungsi navigasi turn-by-turn serta tongkat tengah.
Kemudiannya pemilik juga boleh mendapat lebih keyakinan untuk membawa motosikal ini meredah jalan lebih lasak kerana ia sudah dipasang dengan besi pelindung tepi, pelindung radiator serta pelindung bawah enjin dan pelindung tangan yang diperkuat.
Sebagai pelengkap, penampilannya dijadikan istimewa dengan padanan warna Thrilling Black dan Ducati Red, bersama pelekat grafik khas. Bahagian mekanikal serta kelengkapan lain adalah sama seperti DesertX biasa, bermula dengan enjin, iaitu unit Testastretta 11 L-twin 937 cc, mampu menghasilkan kuasa 110 hp pada 9,250 rpm dan tork 92 Nm pada 6,500 rpm.
Sebagai sebuah model adventure, DesertX datang dengan padanan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan ia dipegang oleh suspensi Kayaba yang terdiri daripada fork 46 mm di hadapan dan monoshock di belakang. Kedua-dua bahagian boleh dilaras sepenuhnya.
Kelengkapan lain yang disediakan antaranya termasuk quickshifter, cakera brek 320 mm berkembar dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, skrin TFT lima inci, tangki bahan api 21 liter, cruise control, mod tunggangan, Cornering ABS, Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control serta tinggi tempat duduk 875 mm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.