Dividen KWSP lebih 5.8% dalam jangkauan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai 16 juta ahli dengan lebih 8.5 juta aktif mencarum.

PETALING JAYA: Dividen Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) sehingga lebih 5.8% dijangka bagi simpanan konvensional tahun lalu, sedikit pertambahan berbanding 5.5% diisytiharkan pada 2023.

Kadar simpanan syariah pula diramal bermula antara 5.4% hingga 5.6%, menurut sumber terdekat. Dua tahun lalu, KWSP membuat agihan dividen 5.4% bagi simpanan itu.

Sumber berkata, angka tersebut adalah ‘hampir pasti’ dan jumlah akhir dijangka diumum dana persaraan itu pada awal Mac.

“Kadar berkenaan boleh menjadi yang tertinggi sejak tiga tahun lalu. Purata untuk 10 tahun lalu adalah 6%. Apapun, ia pasti jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu,” kata sumber kepada FMT.

Jumlah keseluruhan agihan akaun konvensional pada 2023 adalah RM50.33 bilion dan RM7.48 bilion bagi simpanan syariah.

KWSP mempunyai sekitar 16 juta ahli dengan lebih 8.5 juta aktif mencarum.

Laporan berita baru-baru ini memetik beberapa ahli ekonomi sebagai berkata, ada kemungkinan dividen tahun lalu melepasi 6% berdasarkan prestasi kukuh pada suku ketiga 2024.

Bagi sembilan bulan pertama tahun lalu, KWSP mencatatkan pendapatan RM57.57 bilion, meningkat 20% daripada RM47.86 bilion, dalam tempoh sama pada 2023.

Sumber berkata, pencarum tidak boleh mengharapkan dividen terlalu tinggi memandangkan KWSP antara segelintir dana pencen di dunia memberikan dividen berdasarkan pulangan direalisasikan, yang sebenarnya ditunaikan selepas pelaburan dijual.

“Ia adalah untung dan rugi diperoleh selepas jualan dan pelaburan, berbanding pulangan tidak direalisasikan, yang mana untung atau rugi pelaburan masih dipegang. Ini dikategorikan sebagai jumlah pulangan.

“KWSP tidak mengasaskan dividen pada jumlah pulangan yang termasuk keuntungan atas kertas, yang kemudian ditentukan prestasi pelaburan,” kata sumber itu menjelaskan pendekatan berhati-hati KWSP.

Sumber berkenaan berkata, Tabung Simpanan Pekerja Singapura menggunakan pendekatan keuntungan direalisasikan dan purata dividen bagi 10 tahun lalu adalah 4%.

Source link

dividenkwsppencarumpulangan
Comments (0)
Add Comment