PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka memberi agihan dividen lebih baik bagi 2024, berbanding tahun sebelumnya berdasarkan prestasi kukuh dua suku terakhir tahun lalu.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata pencarum boleh mengharapkan berita gembira berkait kadar dividen dana persaraan berkenaan.
“Kalau kita tengok prestasinya sehingga suku ketiga tahun lepas, ia (prestasi) menggalakkan. Sehingga suku ketiga, ia (KWSP) dah dapat RM57.5 bilion (pendapatan pelaburan). Lebih baik daripada tahun sebelumnya.
“Oleh itu, insya-Allah prestasi berterusan pada suku keempat dan dividen akan memberangsangkan. Namun, saya tak boleh komen apa dividennya. Itu tunggulah. Boleh kata lebih baik. Insya-Allah,” katanya menurut Bernama selepas menyempurnakan Larian Asean: Trek Kewangan @MOF anjuran Kementerian Kewangan (MOF), di Putrajaya.
KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi pada 2023 iaitu 5.50% bagi simpanan konvensional, berbanding 5.35% pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.
Bagi simpanan syariah, 5.40% direkodkan berbanding 4.75% pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.
Pada 9 Feb, sumber terdekat memberitahu FMT, berkata dividen dana persaraan berkenaan boleh mencapai lebih 5.8% bagi simpanan konvensional tahun lalu.
Kadar simpanan syariah pula diramal bermula antara 5.4% hingga 5.6%, menurut sumber itu.
Sumber itu berkata, kadar dividen berkemungkinan tertinggi sejak tiga tahun lalu.
KWSP mempunyai sekitar 16 juta ahli dengan lebih 8.5 juta aktif mencarum.