China rekod kes positif Covid-19 lebih rendah, perketat kawalan sempadan

Pelanggan mengimbas kod QR kesihatan mereka sebelum membeli-belah di sebuah pusat beli-belah di bandar Hubei minggu lepas. (Gambar AP)

BEIJING: China hari ini melaporkan penurunan dalam kes koronavirus baru, terutama jangkitan yang diimport dan jangkitan tanpa gejala yang dibimbangi pihak berkuasa akan menjadi gelombang ke-2 Covid-19 selepas sekatan pergerakan dan perjalanan ditarik semula.

Suruhanjaya kesihatan kebangsaan republik itu berkata, 42 kes baru dilaporkan semalam, berbanding 63 kes yang dilaporkan sehari sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 81,907.

Angka korban meningkat seorang kepada 3,336.

Suruhanjaya itu berkata, 38 pesakit baru adalah kes yang diimport, menurun daripada 61 kes sehari sebelumnya, dan terdapat 47 kes tanpa gejala baru berbanding 61 yang dilaporkan sebelumnya.

Sekatan perjalanan dan transit yang ketat dilaksanakan sejak Januari lalu melihatkan penurunan ketara jangkitan baru berbanding ketika kemuncak penularan epidemik itu pada Februari.

Bagaimanapun penggubal dasar khuatir mengenai gelombang ke-2 yang dicetuskan oleh individu yang memasuki republik itu dari luar negara atau pesakit tanpa gejala yang berjangkit, tetapi tidak menunjukkan simptom.

Wilayah timur laut Heilongjiang melaporkan peningkatan kes baru, baru-baru ini kerana warga China memasuki wilayah itu dari Rusia, di mana terdapat peningkatan kes koronavirus baru.

Satu mesyuarat kerajaan pusat yang dipengerusikan perdana menteri Li Keqiang memutuskan pada Khamis bahawa Beijing akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk mencegah penyebaran virus itu dari sempadan dan meluaskan ujian.

Virus itu yang pertama kali muncul di bandar Wuhan di tengah China pada akhir 2019, merebak ke seluruh dunia dan menjangkiti lebih 1.4 juta orang dan mengorbankan lebih 87,700 mangsa.

Pandemik tersebut menjejaskan ekonomi global berikutan kerajaan mengenakan sekatan keluar masuk untuk mengekang penyebarannya.

Source link

Comments (0)
Add Comment