PERUSAHAAN Kecil Rambah, pengeluar Mee Kuning Mohd Adli optimis melebarkan sayap perniagaan di seluruh Malaysia secara berperingkat mulai tahun ini.
Pengarah Urusannya, Mohd Adli Mohd Arif berkata, mi kuning keluaran syarikatnya semakin mendapat permintaan apabila setakat ini lebih 16 tan mi dihasilkan sebulan.
Katanya, tahun ini syarikat menyasar menghasilkan lebih 30 tan mi sebulan atau 360 tan setahun.
“Perniagaan Mee Kuning Mohd Adli ini diwarisi daripada arwah ayah sejak 1995 dengan kilang dan pasaran kami di sekitar Johor.
“Saya ambil alih perniagaan mi kuning ini bermula 2016 dan semakin berkembang di seluruh Johor, Melaka dan Lembah Klang.
“Permintaan menggalakkan dari negeri lain namun kami berdepan cabaran kekurangan mesin pengeluaran dan logistik,” katanya.
Menurutnya, pihaknya kini mencari modal perbelanjaan RM1 juta untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran melalui pembelian mesin.
Justeru, pihaknya menjangkakan Mee Kuning Mohd Adli mampu berada di pasaran seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun.
“Selain keluaran Muslim, kelebihan Mee Kuning Mohd Adli tiada kapur atau asid borik selain boleh disimpan di dalam peti ais kerana mi tidak hancur atau patah apabila dikeluarkan.
“Kami juga membuka peluang menjadi ejen dan stokis dengan modal serendah RM550,” katanya yang turut memasarkan produk melalui Facebook.