KOTA KINABALU: Aktiviti kempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diteruskan dengan calon memasuki kawasan terpencil serta ke kedai kopi dan pasar untuk mempromosikan diri, tetapi ada yang beralih ke media sosial untuk menyebarkan mesej.
Antara inisiatif pertama berasaskan media sosial ialah sebuah klip video selama 4 minit yang dikongsi secara meluas melalui WhatsApp kelihatan seperti “strategi halus” bagi gabungan Warisan Plus.
Walaupun video berjudul “Bangkit Sabah” itu tidak menamakan gabungan itu, ia menampilkan Presiden Warisan, Shafie Apdal menyeru orang Sabah mengekalkan perpaduan mereka ketika berdepan “serangan hebat”.
Klip selama 4 minit itu juga memaparkan pelbagai etnik di Sabah berkongsi makanan dan penganut Kristian menyanyikan lagu Selamat Hari Raya kepada saudara mara dan rakan beragama Islam.
Turut muncul dalam klip itu ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang berkata di Parlimen: “Pada hakikatnya, tanah ini adalah Tanah Melayu.”
Klip itu berakhir dengan sekumpulan kanak-kanak mengagihkan belon berwarna merah, putih dan biru, yang mewakili warna lambang Warisan.
Ramai orang Sabah berkongsi video itu dan dan artis grafik, Les Lee berkata, ia kerana pengundi berkongsi perasaan sama seperti dalam mesej itu.
“Kami tiada masalah dengan bangsa dan agama kerana kebanyakan daripada kita mempunyai keturunan etnik berbeza. Seseorang itu mungkin mempunyai ibu bapa Bajau, Kadazan Dusun, India dan Cina serta sepupunya pula mungkin mempunyai ibu bapa terdiri daripada orang Murut dan Filipina.
“Tetapi, kita nampak ahli politik dari Semenanjung yang lantang membuat kenyataan berbaur perkauman. Kita tertanya-tanya adakah nilai-nilai orang Sabah terancam dengan mereka yang datang dari seberang Laut China Selatan.”
Warisan Plus turut mengeluarkan klip video berjudul “Cerita Orang Sabah” untuk menyingkap pelbagai pencapaiannya, termasuk apa yang dilakukan untuk petani, nelayan dan kumpulan seperti organisasi keagamaan.
Pemerhati politik menjangkakan berkempen melalui media sosial akan meningkat dalam beberapa hari lagi kerana hari pengundian 26 Sept semakin hampir.
Mereka, bagaimanapun, tertanya-tanya sama ada usaha calon atau parti “sia-sia” dengan kempen dalam talian sedemikian yang hanya dikongsi ahli, saudara atau rakan, bukannya sampai kepada pengundi atas pagar atau yang belum membuat keputusan.
“Masalah dengan media sosial ialah parti yang paling banyak muncul ialah parti yang anda ikuti atau paling banyak klik untuk tontonan,” kata perunding dalam talian, Ashley Issac.
Beliau mendapati kehadiran banyak dalam media sosial mungkin tidak diterjemahkan dalam bentuk undian.
Katanya, walaupun seseorang memberi “like” kepada halaman Facebook calon atau parti, itu tidak bermakna ia boleh dikira sebagai satu undi.
Dengan lebih banyak bendera, sepanduk dan kain rentang dinaikkan dalam tempoh berkempen PRN Sabah, pengundi perlu menjangkakan lebih banyak mesej, gambar dan klip video muncul di media sosial mereka.
Adakah usaha ini akan membuahkan hasil? Jawapannya akan diketahui selepas pengiraan undi pada 26 Sept.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah
Source link