BYD Malaysia sahkan model pasaran tempatan tiada risiko kebakaran, tak terlibat dengan panggilan semula
Sime Darby Motors iaitu syarikat yang mengendalikan BYD Malaysia hari ini mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa panggilan semula untuk model hatchback EV segmen-B BYD Dolphin dan SUV EV segmen-C BYD Yuan Plus di China yang diumumkan baru-baru ini tidak melibatkan pasaran Malaysia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan itu, panggilan semula tersebut dibuat oleh BYD Auto Industry Co., Ltd. dan BYD Automobile Co., Ltd. untuk unit-unit tertentu model BYD Dolphin dan BYD Yuan Plus (dikenali sebagai Atto 3 di sini), di mana kumpulan dan model-model berkenaan hanya untuk pasaran tempatan di China serta tidak melibatkan pasaran luar.
Dalam laporan yang disiarkan oleh CarNewsChina tempoh hari, panggilan semula tersebut akan membabitkan 96,714 BYD Dolphin serta BYD Yuan Plus, dan ia akan bermula pada 30 September 2024. 87,762 unit dari jumlah tersebut merupakan kenderaan yang diproduksi bermula 4 Februari hingga 26 Disember 2023, manakala 8,952 unit selebihnya diproduksi lebih awal iaitu bermula 2 November hingga 19 Jun 2023.
BYD Malaysia mengesahkan bahawa Dolphin dan Atto 3 di sini tidak terlibat dengan panggilan semula yang berlangsung di China sekarang kerana masalah elektronik dengan risiko boleh berlakunya kebakaran. Lebih perincian pada artikel di bawah.
Untuk lebih spesifik berkenaan masalah tersebut, BYD menyatakan bahawa sebahagian kenderaan yang diproduksi dalam masa berkenaan telah dipadankan dengan unit pengawal pemasangan kolum stereng kuasa elektrik (CEPS) yang tidak melalui proses pembuatan yang betul.
Apabila penutup komponen tersebut ditutup, ia mungkin akan mengganggu kapasitor pada papan litar elektronik pengawal itu, yang kemudiannya akan menyebabkan keretakan kecil berlaku pada kapasitor di dalamnya. Keretakan tersebut mungkin akan menjadi besar ketika kenderaan digunakan, yang kemudiannya akan menyebabkan litar pintas, panas melampau, dan berpotensi menyebabkan kebakaran.
Bagi mengatasi masalah ini, pengedar-pengedar BYD di China akan memasang pelapik penebat pada pengawal tersebut bagi mengelakkan berlakunya masalah lain yang berkaitan dengan keselamatan. Proses ini tidak akan mengenakan sebarang cas kepada pelanggan, dan BYD akan menghubungi pelanggan yang terlibat menerusi emel, WeChat dan panggilan telefon. Malah BYD turut mewujudkan talian servis khas untuk pelanggan yang terlibat dalam panggilan semula ini.
CarNewsChina menyatakan bahawa ini merupakan panggilan semula terbesar yang pernah dibuat oleh BYD dalam sejarah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.